Selasa, 30 Julai 2013

HARNINA - 11




….. S. E. B. E. L. A. S…..

            Hari demi hari Rizqi meminta untuk membuat sesuatu tugasan yang kadang-kadang memang bukan dari tugas hakiki. Hinggakan nak keluar untuk makan pun tak sempat. Alasannya dia tidak mempunyai setiausaha yang boleh membantu mengingatkannya setiap waktu.

            “Nina, awak okey ke?”, soal Encik Zain sewaktu Harnina  memberikannya senarai fail beserta ikatan dokumen yang diperlukan.

            “Encik Zain nampak saya macam tak okey ke?”. Harnina memang sudah biasa dengan Zain. Banyak perkara yang boleh dikongsikan bersama. Jadi, dia mempunyai banyak ruang untuk berbicara secara terbuka.

            “Muka awak nampak pucat. Awak sakit ke?”. Owh…. Ketara sangat ke muka aku ni?. Letih yang teramat sangat agaknya sejak dua tiga menjak kebelakangan ini dengan lambakan kerja. Sabtu dan Ahad yang memerlukan dia untuk menghadiri kelas. Semuanya memberikan impak yang agak ketara dalam kehidupannya.

            “Saya okey saja Encik Zain. Mungkin saya penat sedikit”, jawabnya tanpa berselindung. Pintu dikuak tanpa diketuk terlebih dahulu. Serentak itu Harnina dan Encik Zain memandang. Rizqi sudah terpacul di sebalik pintu dengan wajah sedikit terkejut.

            “Di sini awak rupanya Nina. Dah siapkan apa yang saya minta tadi?”, soalnya sambil menarik kerusi di sebelah tanpa dipinta. Zain hanya menjadi pemerhati.

            “Nina, awak boleh keluar dulu. Ambillah cuti kalau perlu. Dah okey nanti bertugaslah macam biasa”, ujar Zain dengan penuh keprihatinan sambil tersenyum mengiringi langkah Harnina keluar. Harnina membalas senyuman tersebut tanpa menghiraukan kehadiran Rizqi yang ada di situ.
            “Apa yang Harnina mengadu dengan kau?”, soalan pertama Rizqi kepada Zain sebaik sahaja pintu tertutup rapat. Dia nampak jelas senyuman Harnina kepada sahabatnya itu. Nampak begitu ikhlas sekali.

            “Tak ada apa. Hah..yang kau ni main masuk je tak ketuk pintu aku dulu kenapa?”, soal Zain sambil menyingsing lengan bajunya kemejanya. Dia terasa sedikit rimas.

            “Kenapa? Kau tengah bercanda dengan budak tu ke yang aku tak dibenarkan masuk?”. Wajahnya sedikit tegang bila ditanya sedemikian. Zain hanya tertawa kecil memandang Rizqi sambil menggeleng-gelengkan kepala.

            “Engkau ni, kalau cemburu sekalipun takkanlah dengan aku sekali kena tempiasnya”, ujar Zain sambil melonggarkan tali lehernya. Dia yang baru pulang dari mahkamah sebentar tadi dan masih belum sempat melepaskan lelahnya lagi.

            “Macamana kes harini? Ada harapan?”, Rizqi bersuara. Dia malas mahu membalas hujah Zain sebentar tadi. Semakin dia berdebat dengan Zain, semakin bercelaru pula mindanya nanti.

            “Macam biasalah. Minggu depan sambung lagi dengan saksi yang baru”. Zain memandang Rizqi kembali.

            “Qi, aku rasa Nina tu terbeban dengan tugas la”. Zain mengetuk-ngetuk pen yang terselit di jarinya. Tari lehernya dibiarkan lepas ikatannya.

            “Kenapa? Dia mengadu dengan kau ke?”, ujar Rizqi dengan nada kurang senang.

            “Dia taklah mengadu. Tapi kau tak perasan ke muka dia pucat, letih semacam je aku tengok sejak dua tiga menjak ni. Sebelum ni dia taklah macamtu”.
            “Entah-entah dia keluar dengan tunang dia sampai lewat malam, manalah kita tahu orang ni kan Zain”, ujarnya seakan memerli sahaja lagaknya.

            “Rizqi…Rizqi…”. Zain tertawa sambil menggeleng-gelengkan kepala sekali lagi. Setahu dia, Harnina masih belum bertunang dan lelaki yang selalu mengambilnya itu adalah abang kandungnya, Hazman.

            “Engkau ingat Nina tu macam Haziqa ke?. Harnina tu kerja dengan aku walaupun tak lama mana tapi aku kenal dia tu. Aku tahu siapa dia tu. Lagi satu, aku nak tanya kau ni. Mana kau dapat cerita dia tu dah bertunang?”.

            “Dia ambil cuti dua hari. Kemudian petang tu pakwe dia jemput sampai kat dalam ofis ni kau tau. Nama aje cantik bertudung, berbaju kurung ke sana ke mari ”. Rizqi sudah mula cuba menilai Harnina dengan pandangan negatif.

            “Kau jangan bebankan dia dengan kerja-kerja Mariam sangat Qi. Aku takut esok-esok dia hantar surat berhenti kerja pula. Antara staf-staf yang kita ada, aku lebih percayakan dia berbanding yang lain”.

            “Termasuk aku?”. Wajah Rizqi agak tertekan dengan kata-kata Zain yang terakhir itu.

            “Maksud aku, staf. Kau ni rakan kongsi aku”, Zain membetulkan persepsi Rizqi terhadap kata-katanya. Rizqi memang sebegitu. Sejak hubungannya dengan Haziqa terputus, dia mula memandang rendah terhadap perempuan.

            Zain malas mahu mencampuri urusan peribadi sahabatnya itu. Lantas dia terus menukarkan topik perbualan kepada isu yang lain. Bertegang urat dengan Rizqi mengenai perempuan bukanlah suatu perkara yang baik, ujarnya di dalam hati.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan