.....E. N. A. M.....
Perjalanan yang mengambil
masa lebih kurang tiga jam dari Bandar Batu Pahat ke Kuala Lumpur tidaklah
terasa jauh oleh Harnina. Dua hari berada di kampung kemudian dia bertolak ke
Kuala Lumpur kerana sudah berjanji dengan Humaira untuk bertemu. Bas yang
membawa Harnina sudahpun bergerak meninggalkannya di Terminal Bersepadu Selatan.
Harnina menunggu pula Humaira untuk mengambilnya dari situ. Begitulah janji
mereka.
Dia duduk di bangku yang disediakan di ruangan tersebut
sambil memerhati keadaan sekeliling. Terlalu banyak perubahan yang ada. Tempat
ini jauh lebih selesa berbanding dengan Puduraya dahulu, getus hati kecilnya.
Sedang dia asyik memerhati keadaan sekeliling, telefon bimbitnya berbunyi. Nama
Adli tertera pada skrin. Dia pantas tersenyum sebelum menjawab panggilan
tersebut.
“Assalamualaikum….”, senyuman semakin jelas pada
wajahnya.
“Wa’alaikumussalam… Nina, awak dekat mana?.” Suara Adli
kedengaran agak cemas. Satu soalan yang tidak diduga oleh Harnina. Dia segera
memerhati keadaan sekeliling. Mencari-cari kalau-kalau Adli ada disekitar itu.
Ramai orang yang bergerak di situ tetapi masing-masing dengan haluan dan arah
tujuan sendiri.
“Errr… saya ada dekat luar pejabat ni. Kenapa?,” ujarnya
berbohong. Dia tidak mahu Adli tahu tentang kehadirannya di situ. Dia mahu
membuat kejutan terhadap lelaki yang disayanginya itu. Sebab itulah dia sengaja
mengambil cuti agak lama sedikit.
"Owh…tak ada apa. Saya ingatkan awak ada di Kuala Lumpur
ni.” Suara Adli kedengarannya tidak tegang seperti tadi. Nadanya juga sudah
berubah.
“Awak ni… saya kan kerja. Takkanlah saya boleh ada di
sana, dekat dengan awak. Hati saya sahaja yang ada dekkaaattttt dengan awak.”
Dia tersenyum bahagia. Terasa bagaikan Adli memanggil-manggil dirinya..
“Hurmmm… Nina, saya ada kerja sikit ni. Nanti saya call
awak semula ya. Bye…”. Talian terus diputuskan. Walaupun terasa dengan
perbuatan Adli, namun dia tetap merasa senang bila Adli menghubunginya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan