............S. A. T. U............
“Cepet!...Cepet!....”, Harnina melaung nama Cepet
sekuat hati. Ke manalah si Cepet ni menghilang. Kayuhan semakin dilajukan
sambil anak mata melirik ke kiri dan kanan jalan mencari-cari kalau-kalau si
Cepet ada di situ. Entah ke manalah pergi merayau tak tahu nak balik, rengus
hatinya. Rasa geram pun ada dengan Abang Hazman yang sengaja membiarkan anak
kucing kesayangannya yang berbulu kembang itu keluar dari sangkarnya.
Habis satu kampung sudah di redah hari ini dengan harapan
dia akan dapat bertemu semula dengan si Cepet. Namun harapannya hampa. Geramnya
dia bila sahaja pulang dari berjumpa Mai petang itu di lihatnya pintu sangkar
Cepet sudah terbuka luas.
Berlari Harnina mendapatkan emaknya di dapur. Emak pula
memaklumkan yang dia baru sahaja pulang dari kenduri potong jambul anak Kak Fah
dan tidak sempat melihat sangkar si Cepet.
Sewaktu kaki Harnina melangkah masuk tadi, dia nampak
Abang Hazman sedang menonton televisyen di ruang tamu. Jadi, dia cepat-cepat
bertanyakan perihal Cepet dengan abangnya. Namun jawapan Hazman begitu
menghampakan.
“Manalah Abang tau. Abang tengok Cepet tu macam rimas aje
dalam sangkar, jadi abang bukalah pintu sangkar tu”. Jawapan yang diberikan
benar-benar membuatkan darah Harnina seolah-olah mendidih. Alasan yang sungguh tak
logik!. Tak boleh diterima dek akal. Dia memang suka dengki pada aku, desis
hati kecilnya. Apa yang membuatkan dia bertambah geram bila Hazman dengan muka
tak bersalahnya mengaku dialah yang membukakan pintu sangkar si Cepet.
Harnina terus meletakkan basikal betul-betul di hadapan
pintu rumah. Matanya masih mencari-cari anak kucing berbulu kembang warna
kuning dan putih persis kucing parsi itu di sekitar rumah. Manalah tahu Cepet
tahu jalan pulang. Namun, sekali lagi dia hampa.
“Assalamualaikum…”. Harnina memberi salam. Peluh masih
membasahi dahi dan nafas pula turun naik antara penat dan menahan rasa amarah
sedari tadi. Dia melangkah masuk ke dalam rumah dengan langkah yang lemah.
“Jumpa tak Cepet kau dik?”. Hazman menegur bila sahaja melihat
Harnina yang kepenatan.
Harnina malas hendak menjawab pertanyaan Hazman. Hatinya
sakit. Dia merajuk. Muncung panjang sedepa. Dia terus masuk ke dalam bilik dan
mengurungkan diri. Ini semua Hazman punya pasal.
Ketukan pintu yang bertalu-talu dibiarkan sahaja. Suara
emak dan Hazman berselang seli di muka pintu memanggil-manggil meminta keluar.
Itupun setelah satu jam dia mengurungkan diri dalam bilik.
Harnina memandang jam di dinding bersebelahan dengan
almari pakaiannya. Hampir mencecah ke angka 6.00 petang. Sudah tentulah emak
dan Hazman risau dengan keadaannya tambahan pula ayah akan pulang sebentar
lagi.
Suara Hazman memujuk jelas kedengaran di muka pintu namun
langsung tidak diendahkan.
“Nina, nanti Abang Man carikan Cepet ye. Kalau tak jumpa
Abang gantikan yang lain. Abang cari yang bulu kembang juga, nak tak?”. Dan…bermacam-macam
lagi janji Hazman padanya di sebalik pintu yang tertutup. Heeee..dia tersenyum
dalam bilik bersendirian. Kembang rasa hati bila Hazman datang memujuk. Namun
perasaan amarah tadi masih lagi menguasai diri lantas dia tertidur.
Astagafirullahalazim…… Azan Maghrib berkumandang, barulah
dia terjaga. Itupun setelah daun pintu diketuk kasar dan suara ayah pula yang
kedengaran memanggil namanya berulang
kali.
“Ya ayah..Nina keluar sekejap lagi”. Harnina segera
menyahut. Siapa tak kenal ayah di kalangan ahli keluarga kami. Terkenal dengan
sifat garangnya. Anak-anak memang manja dengannya tapi janganlah buat salah
sedikit. Habis dimarahnya. Siaplah Abang Hazman harini…hati kecil Harnina berkata
sendiri.
.................................
Tiada ulasan:
Catat Ulasan