.....L. I. M. A.....
Rizqi
mengepal-ngepal penumbuknya. Dia nampak tidak berpuas hati. Entah mengapa
hatinya jadi gundah gulana sejak pertama kali di temukan dengan Harnina di
dalam bilik Zain seminggu yang lalu. Semalam dia nampak gadis itu bersama
dengan seorang lelaki pula. Mereka kelihatan agak mesra.
Apa yang dia nampak semalam benar-benar membuatkan hatinya jadi tidak
keruan. Apatah lagi ditambah pula dengan penolakan Harnina untuk mengikutnya ke
Johor Bahru. Seketika kemudian dia kembali beristighfar mengingatkan di mana letak
dirinya.
“Qi”, Mak Leha memanggil Rizqi.
Sudah puas Mak Leha mengetuk pintu bilik anak majikannya namun tiada balasan.
Perlahan-lahan pintu bilik Rizqi di buka. Wajah tua itu nampak takut-takut.
Hanya matanya sahaja yang melilau memandang di dalam bilik tidur anak bujang
itu. Bilik itu nampak berselerak dan tidak terurus. Kemudian Mak Leha nampak
lelaki itu berada di atas katil sambil berbaring memandang siling.
Apalah agaknya yang berada di dalam kotak
fikiran anak majikan itu kali ini. Semenjak Rizqi dikecewakan oleh Hazika,
lelaki itu nampak tidak terurus dan lebih suka menyendiri. Dato’ Sideq dan
isterinya pula asyik sibuk dengan urusan mereka dan menjadikan Rizqi selalu
keseorangan. Anak-anak yang lain pula sibuk dengan kehidupan mereka
masing-masing. Adalah sekali sekala datang menjenguk.
“Qi…boleh Mak Leha masuk?”, sekali
lagi Mak Leha bersuara.
Rizqi
berpaling ke arah pintu. Dia memandang Mak Leha dengan perasaan kosong.
Wajahnya nampak berserabut. Sama seperti serabut biliknya juga saat itu.
“Ada apa Mak Leha?”. Dia bergerak
bangun perlahan-lahan.
“Mak Leha nak ambil kain kotor”,
namun tidak pula dia terus masuk.
“Masuklah Mak Leha”. Rizqi hanya
duduk di birai katil sambil memerhatikan Mak Leha mengutip baju-baju kotornya.
“Mak Leha buka tingkap ni ya Qi”.
Bilik yang malap itu menjadi terang benderang bila langsirnya di kuak. Serta
merta angin luar masuk ke dan suasana bilik itu menjadi segar.
“Papa dengan mama ada tak Mak
Leha?”. Dia kembali meraup wajahnya. Terasa lama benar dia tidur.
“Mama Qi dah keluar pagi tadi dengan
Mel”, ujar Mak Limah.
“Mel anak aunty Zaza ke Mak Limah?”,
ujar Rizqi lemah. Mamanya memang selalu bersama Mel sejak akhir-akhir ini.
Entah apalah yang Datin Kalsom pandang pada Mel anak aunty Zaza itu pun dia sendiri tidak tahu.
“Qi tak kerja hari ni?”, Mak Limah
bersuara. Terbongkok-bongkok wanita itu mengutip pakaian Rizqi yang bertaburan
di atas lantai.
“Qi kena ke Johor Bahru Mak Limah,
ada mesyuarat di sana”. Lemah sahaja jawapan Rizqi. Dia bagaikan tidak bermaya
sahaja. Fikirannya jadi bercelaru.
“Mak Limah cuti tiga hari ye Qi
mulai esok”. Wanita itu sudah sampai di muka pintu dan terus berlalu.
Rizqi melangkah lemah menuju ke
bilik air. Sempat lagi dia mengerling jam di atas meja bacaannya. Pukul 9.30
pagi. Masih ada masa lagi untuk dia sampai ke Johor Bahru, fikirnya.
AWAN
mendung yang berarak di dada langit mengiringi perjalanannya ke Johor Bahru
hari itu. Bila-bila masa sahaja akan menitiskan air hujan. Kepulan awan hitam
itu tidak ubah seperti dirinya juga. Dia rasa tidak bersemangat hari itu tapi
tidak pula boleh untuk dia membatalkan temujanji yang telah dibuat.
Permintaan papanya, Dato’ Sideq
petang semalam benar-benar membuatkan dia begitu tertekan. Baginya permintaan
itu bukanlah kecil tetapi terlalu berat untuk dikotakan.
“Qi tak sanggup pa”. Lambat-lambat
dia menjawab. Dia tahu dia akan melukakan hati papanya. Tapi apakan dayanya?
Jangan hanya kerana dia dijanjikan dengan kemanisan yang sedikit itu dia perlu
mengorbankan seluruh masa depannya.
“Tapi Qi, papa dan berjanji dengan
Dato’ Jamal. Dia dah bersetuju untuk menjual tanah pusakanya pada papa kalau Qi
sanggup untuk menjadi menantu dia”. Patutlah mamanya selalu sangat keluar
dengan Mel, anak Auntie Zaza sejak kebelakangan ini. Rupa-rupanya ada sesuatu
yang di luar pengetahuannya. Inilah rancangan papa dan mamanya rupanya.
“Mel tu cantik apa. Qi sahaja yang
tak pandang dia”, Datin Kalsom mencelah. Dia berkenan benar dengan Melia anak
Dato’ Jamal itu untuk dijadikan menantu.
“Tapi ma….”
“Tapi apa? Qi dah ada pilihan
sendiri?”. Sinis kata-kata papanya. Rizqi hanya mengangguk. Walaupun hakikatnya
dia tidak mempunyai sebarang teman wanita semenjak dia putus dengan Haziqa.
“Pilihan sendiri macam Haziqa?”,
perli papanya lagi. Dia takut anaknya akan tersasar dalam pencariannya kali
ini. Sebab itulah dia bersetuju dengan tawaran yang diberikan oleh sahabatnya,
Dato’ Jamal. Lagipun tanah pusaka milik sahabatnya itu mempunyai nilai yang
amat tinggi.
“Dia bukan macam Haziqa pa”, ujar
Rizqi lemah. Dia tahu tidak guna untuk dia berdebat dengan papa dan mamanya.
Cukuplah sekali sewaktu dia mendesak keluarganya untuk menghantar rombongan
meminang Haziqa satu ketika dahulu. Dia mendapat tentangan hebat dari papa dan
mamanya. Namun mereka berdua tetap beralah juga demi menjaga hatinya. Tapi
akhirnya hubungannya dengan Haziqa terputus di tengah jalan.
“Qi tak perlu tipu papa ataupun
mama. Qi ingat papa tak tahu yang Qi memang tak ada teman wanita?”. Kata-kata
Dato’ Sideq benar-benar membuatkan Rizqi diam seribu bahasa. Tidak tahu apa
yang harus diperkatakan lagi kerana memang itulah hakikat yang sebenarnya.
Hatinya masih belum terbuka lagi untuk mana-mana wanita hingga sekarang.
“Baiklah Qi, papa beri Qi masa 100
hari bermula esok… Qi perlu buktikan pada papa dan mama yang Qi benar-benar
sudah ada calon isteri untuk Qi dan bawa dia datang jumpa papa dan mama pada
hari yang ke seratus tu. Kalau Qi gagal, anggap sahajalah papa dan mama dah
datang merisik Mel untuk Qi”. Terkebil-kebil Rizqi memandang wajah papa dan
mamanya silih berganti. Dia bagaikan dikenakan hukuman denda yang amat berat
sekali dan tiada jalan baginya untuk keluar lagi.
Titis-titis hujan yang mulai
membasahi alam mengenai cermin keretanya sekaligus membawa dia kembali ke alam
nyata. Dia kembali dengan pemanduannya walaupun hatinya perit mengenangkan
peristiwa semalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan