.....T. I. G. A.....
“Assalamualaikum Nina”, suara
Rina memberi salam sewaktu mereka sama-sama mendaki anak tangga menuju pintu
masuk ke pejabat masing-masing hari itu.
“Wa’alaikumussalam…”, balas Harnina sambil tersenyum.
Pagi-pagi sebegini Rina sudah menunjukkan moodnya yang agak baik. Rina atau
nama sebenarnya Sarina memang dikenali sebagai seorang yang agak moody
berbanding rakan-rakan pejabatnya yang lain. Jika angin kus-kusnya sudah sampai
mahu bergoncang bangunan lima tingkat ini dibuatnya. Pejabat Rina berada
berhadapan dengan pejabat Harnina terletak di tingkat yang sama. Mereka selalu
bersua terutamanya di waktu pagi. Ada kalanya Rina kelihatan muncung sahaja dan
tidak mahu tersenyum langsung. Ada kalanya pula dia kelihatan begitu baik
sekali.
“Nina, En Zain nak jumpa”, Tanti datang memanggil ketika
Harnina sedang sibuk dengan himpunan fail-failnya. Fail tersebut nampak lebih
tinggi dari Harnina.
“Haa…okey…sekejap aku sampai.” Harnina menjawab dari
celahan fail yang menimbun tingginya.
‘Apa hal pulak pagi-pagi nak jumpa aku ni?’. Buku nota
dari dalam laci dikeluarkan dan sebatang
pen turut dibawa bersama. Pintu yang tertera nama Zain Bin Kardi itu di ketuk beberapa
kali sebelum terdengar suara mengarahkan untuk dia masuk.
“Assalamualaikum…Encik Zain panggil saya?”. Daun pintu
dirapatkan.
Zain menggamit Harnina dan
memintanya duduk. Kelihatan Zain mempunyai tetamu pagi itu. Lelaki tersebut
duduk bersebelahan Harnina. Mata mereka bertembung dan Harnina cepat-cepat
menghadiahkan sebuah senyuman. Lelaki itu membalas sebelum mereka masing-masing
memandang kepada Zain kembali.
“Begini Nina, awak tahu kan Mariam akan cuti bersalin
lebih kurang seminggu dua lagi. Jadi, banyak kerja-kerja dia yang perlu diteruskan.
Saya dah berbincang dan bersetuju untuk melantik awak untuk menyandang tugas
Mariam selama dua bulan”. Satu sampul surat yang tertulis nama Harnina Binti
Manan diserahkan. Perlahan-lahan isinya dibuka. ‘Sukacita dimaklumkan… ahhh…tak
perlulah aku nak baca sekarang’, desis hatinya.
“Nina, ini saya kenalkan ini Encik Rizqi”.
Lelaki berkemeja gelap yang duduk di sebelahnya tersenyum
sekali lagi dan mereka saling berpandangan. Harnina juga melakukan perkara yang
sama.
Penerangan serba ringkas dari Zain mengenai lelaki di
sebelahnya sedikitpun langsung tidak di endahkan oleh Harnina. Cakaplah apa
pun, Harnina sudah tidak ambil peduli kerana surat yang diberikan itu tadi
sudah memanipulasi mindanya kini. Dia kembali membelek surat yang berada di
tangan. Mencari-cari tarikh kuatkuasa. Dia hanya membiarkan dua pasang mata
yang sedang asyik memerhatikannya.
“Tarikh awak menyandang tugas Mariam adalah berkuatkuasa
serta-merta”.
Macam tahu-tahu sahaja Encik Zain apa yang sedang dicari di dalam surat tersebut. Harnina hanya
mengangguk-anggukkan kepala tanda faham. Tindak tanduknya menjadi perhatian
mereka berdua sekali lagi.
“Awak ada apa yang nak ditanya Nina?”, Encik Zain
memberikan peluang kepadanya untuk bertanya pula.
“Tugasan saya yang sediaada macamana?”.
“Buat sementara ni awak buat dua kerja dahulu”.
Gulpp…. Melaksanakan dua
kerja?. Ingat aku ni robot ke? Sedangkan nak daftarkan kemasukan fail-fail baru
pun kadang-kadang tidak cukup tangan dibuatnya. Harnina mengomel di dalam hati.
Encik Zain tertawa kecil memandang wajah Harnina yang
sudah berubah. Mungkin wajah Harnina yang menjadi kelat tiba-tiba menarik
perhatiannya.
“Kenapa?. Awak ada masalah ke Nina?”, ujarnya masih
dengan senyuman yang bersisa.
“Mestilah ada Encik Zain. Saya perlu buat dua tugasan
dalam satu masa”. Harnina sudah dapat membayangkan bagaimana sibuknya dia
nanti. Sepertimana Kak Mariam sebelum ini ditambah pula dengan tugasnya yang
sedia ada. Mampukah dia?
“Awak cuba dulu Nina. Jangan risau, sebab syarikat akan
bayar gaji awak untuk dua tugasan sepanjang Mariam cuti bersalin. Kalau tak
mampu maklumkan terus pada Encik Rizqi”.
Zain cuba memujuk.
Dia tahu Harnina adalah seorang pekerja yang bertanggungjawab sebab itulah dia
menyerahkan tugasan Mariam kepadanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan