…..
S. E. B. E. L. A. S…..
Hari demi hari Rizqi meminta untuk membuat sesuatu
tugasan yang kadang-kadang memang bukan dari tugas hakiki. Hinggakan nak keluar
untuk makan pun tak sempat. Alasannya dia tidak mempunyai setiausaha yang boleh
membantu mengingatkannya setiap waktu.
“Nina, awak okey ke?”, soal Encik Zain sewaktu Harnina memberikannya senarai fail beserta ikatan dokumen
yang diperlukan.
“Encik Zain nampak saya macam tak okey ke?”. Harnina
memang sudah biasa dengan Zain. Banyak perkara yang boleh dikongsikan bersama.
Jadi, dia mempunyai banyak ruang untuk berbicara secara terbuka.
“Muka awak nampak pucat. Awak sakit ke?”. Owh…. Ketara
sangat ke muka aku ni?. Letih yang teramat sangat agaknya sejak dua tiga menjak
kebelakangan ini dengan lambakan kerja. Sabtu dan Ahad yang memerlukan dia
untuk menghadiri kelas. Semuanya memberikan impak yang agak ketara dalam
kehidupannya.
“Saya okey saja Encik Zain. Mungkin saya penat sedikit”,
jawabnya tanpa berselindung. Pintu dikuak tanpa diketuk terlebih dahulu. Serentak
itu Harnina dan Encik Zain memandang. Rizqi sudah terpacul di sebalik pintu
dengan wajah sedikit terkejut.
“Di sini awak rupanya Nina. Dah siapkan apa yang saya
minta tadi?”, soalnya sambil menarik kerusi di sebelah tanpa dipinta. Zain
hanya menjadi pemerhati.
“Nina, awak boleh keluar dulu. Ambillah cuti kalau perlu.
Dah okey nanti bertugaslah macam biasa”, ujar Zain dengan penuh keprihatinan
sambil tersenyum mengiringi langkah Harnina keluar. Harnina membalas senyuman
tersebut tanpa menghiraukan kehadiran Rizqi yang ada di situ.
“Apa yang Harnina mengadu dengan kau?”, soalan pertama
Rizqi kepada Zain sebaik sahaja pintu tertutup rapat. Dia nampak jelas senyuman
Harnina kepada sahabatnya itu. Nampak begitu ikhlas sekali.
“Tak ada apa. Hah..yang kau ni main masuk je tak ketuk
pintu aku dulu kenapa?”, soal Zain sambil menyingsing lengan bajunya kemejanya.
Dia terasa sedikit rimas.
“Kenapa? Kau tengah bercanda dengan budak tu ke yang aku
tak dibenarkan masuk?”. Wajahnya sedikit tegang bila ditanya sedemikian. Zain
hanya tertawa kecil memandang Rizqi sambil menggeleng-gelengkan kepala.
“Engkau ni, kalau cemburu sekalipun takkanlah dengan aku
sekali kena tempiasnya”, ujar Zain sambil melonggarkan tali lehernya. Dia yang
baru pulang dari mahkamah sebentar tadi dan masih belum sempat melepaskan
lelahnya lagi.
“Macamana kes harini? Ada harapan?”, Rizqi bersuara. Dia
malas mahu membalas hujah Zain sebentar tadi. Semakin dia berdebat dengan Zain,
semakin bercelaru pula mindanya nanti.
“Macam biasalah. Minggu depan sambung lagi dengan saksi
yang baru”. Zain memandang Rizqi kembali.
“Qi, aku rasa Nina tu terbeban dengan tugas la”. Zain
mengetuk-ngetuk pen yang terselit di jarinya. Tari lehernya dibiarkan lepas
ikatannya.
“Kenapa? Dia mengadu dengan kau ke?”, ujar Rizqi dengan
nada kurang senang.
“Dia taklah mengadu. Tapi kau tak perasan ke muka dia
pucat, letih semacam je aku tengok sejak dua tiga menjak ni. Sebelum ni dia
taklah macamtu”.
“Entah-entah dia keluar dengan tunang dia sampai lewat
malam, manalah kita tahu orang ni kan Zain”, ujarnya seakan memerli sahaja
lagaknya.
“Rizqi…Rizqi…”. Zain tertawa sambil menggeleng-gelengkan kepala
sekali lagi. Setahu dia, Harnina masih belum bertunang dan lelaki yang selalu
mengambilnya itu adalah abang kandungnya, Hazman.
“Engkau ingat Nina tu macam Haziqa ke?. Harnina tu kerja
dengan aku walaupun tak lama mana tapi aku kenal dia tu. Aku tahu siapa dia tu.
Lagi satu, aku nak tanya kau ni. Mana kau dapat cerita dia tu dah bertunang?”.
“Dia ambil cuti dua hari. Kemudian petang tu pakwe dia
jemput sampai kat dalam ofis ni kau tau. Nama aje cantik bertudung, berbaju
kurung ke sana ke mari ”. Rizqi sudah mula cuba menilai Harnina dengan
pandangan negatif.
“Kau jangan bebankan dia dengan kerja-kerja Mariam sangat
Qi. Aku takut esok-esok dia hantar surat berhenti kerja pula. Antara staf-staf
yang kita ada, aku lebih percayakan dia berbanding yang lain”.
“Termasuk aku?”. Wajah Rizqi agak tertekan dengan
kata-kata Zain yang terakhir itu.
“Maksud aku, staf. Kau ni rakan kongsi aku”, Zain
membetulkan persepsi Rizqi terhadap kata-katanya. Rizqi memang sebegitu. Sejak
hubungannya dengan Haziqa terputus, dia mula memandang rendah terhadap
perempuan.
Zain malas mahu mencampuri urusan peribadi sahabatnya
itu. Lantas dia terus menukarkan topik perbualan kepada isu yang lain.
Bertegang urat dengan Rizqi mengenai perempuan bukanlah suatu perkara yang
baik, ujarnya di dalam hati.