Rabu, 25 Disember 2013

PIZZA MAGGIE


Sejak dua tiga menjak ni blog ni dah macam blog masak memasak... Hehehe...

Tak kisahlah apa-apa pun.. Tapi yang pastinya... memang suka 'post' pasal makanan walaupun saya bukanlah pakar dalam hal masak-memasak.....




Okey... Harini sebenarnya nak kongsi pasal Pizza Maggie (Kalau korang sebut lain pun tak kisahlah).
Sebenarnya simple aje..bukan susah mana pun...

Bahan-bahan

2 bungkus maggie (terpulang.. nak sebungkus pun boleh... perisa apa pun terpulanglah)
3 biji telur ayam ( Yang ini pun terpulang banyak mana maggie tu)
1 ulas bawang putih 
1 labu bawang besar
3 biji lada (ikut suka-kalau nak pedas tambahlah lagi)
Minyak untuk menggoreng
Bahan perasa (garam/gula)
Perencah maggie (yg maggienya korang dah ambil)

Cara-cara membuatnya:

1.  Rebuskan maggie tu dalam air yang mendidih sampai lembut kemudian angkat dan toskan.
2.  Sementara tu bawang putih dan bawang merah dipotong da
3.  Hiris lada
4.  Pecahkan telur dan masukkan dalam bekas agak besar sedikit dan gaulkan. Masukkan bawang yang dah didadu bersama dengan lada ke dalam telur. Masukkan perencah maggie dan gaul rata. Boleh tambah bahan perasa samada garam atau cukuprasa atau gula (ikut suka la... taknak letak pun boleh.. ).
5.  Gaulkan maggie yang dah ditoskan ke dalam bahan tadi. Gaul hingga rata.
6.  Bolehlah perap sekejap (Kalau perlu). Saya cuma perap dlm 2-3 minit aje.
7.  Panaskan minyak dalam kuali leper... Kemudian bolehlah tuangkan maggie tadi... Terbalikkan kalau bahagian sebelah dah masak...
8.  Bila dah masak... bolehlah hidangkan... makan dengan sos cili... Hehehe


SELAMAT MENCUBA

Rabu, 11 Disember 2013

SAJE SUKA-SUKA

TEMPE SIRA PEDAS


Saya bukanlah pakar sangat dalam bidang masakan. Setakat sikit-sikit tu bolehlah. Ini adalah cara-cara nak buat Tempe Sira Pedas. Saya tak tetapkan sukatannya sebab saya buat ikut rasa dan kuantiti. Main agak-agak sahaja. Jadi... Janganlah marah kalau ianya bukanlah menepati selera tuan-tuan/puan-puan ye....

Bahan-bahan

Tempe
Bawang Besar
Cili kering
Bawang putih
Ikan Bilis
Garam
Gula
Asam jawa (Perahan airnya)

Cara-cara

1.  Potong tempe (ikut selera masing-masing. Nak kecil-kecil pun boleh)
2.  Bawang putih, cili kering, bawang besar dan ikan bilis di blend
3.  Gorengkan tempe dan toskan minyak.
4.  Kurangkan jumlah minyak dan masukkan bahan-bahan yang telah di kisar tadi untuk ditumis.  Masukkan sedikit air asam jawa. Kacau hingga pekat dan mendidih.
5.  Masukkan garam dan gula (nak masukkan cukup rasa pun okey).
6.  Adjust rasa dan akhir sekali masukkan tempe yang telah digoreng tadi dan gaul rata.
7.  Sejukkan sebelum disimpan/dihidang.

Sabtu, 7 Disember 2013

HARNINA - 19



…..S. E. M. B. I. L. A. N. B. E. L. A. S…..
           
            “Harnina!.” Suara garau Rizqi jelas kedengaran di muka pintu. Pejabat yang menempatkan empat orang staf termasuk dirinya itu terasa gegarannya sekali lagi. Harnina yang sedang leka membelek sebuah fail tersentak. Begitu juga dengan Tanti. Serasanya kalau komputer serta seluruh isi ruang itu bernyawa pasti semuanya akan terkejut sama. Tiada satu pun yang terkecuali.
            “Jumpa saya sekejap!.” Suara itu merupakan satu arahan yang cukup jelas. Kebiasaannya suara itu hanya bergema di dalam talian setiap pagi. Tetapi berlainan sungguh keadaannya hari ini.
            ‘Dummm!!!!.’ Bunyi pintu yang dihempas kuat menggetarkan Harnina dan Tanti. Masing-masing menoleh dan Harnina serta merta menjungkitkan bahu bila Tanti memberikan isyarat. Nampaknya Rizqi seperti harimau yang sedang kelaparan sahaja.
            Harnina menarik nafas dalam-dalam. Rizqi berpaling memandang keluar jendela. Renungannya nampak serius. Namun tidak pula Harnina tahu sejauh mana tahap keseriusannya itu.
            “Encik Rizqi… .” Harnina memulakan bicara sebaik sahaja kakinya melangkah ke dalam bilik tersebut. Dia sudah bersedia dengan apa sahaja yang akan terjadi.
            Rizqi menoleh. Di tangannya menggenggam sehelai kertas. Harnina sudah dapat meneka apa yang berada pada fikiran majikannya. Sekali lagi dia menarik nafasnya dalam-dalam.
            “Apa ni?.” Surat tersebut di lontarkan ke atas meja. Lantas Rizqi bercekak pinggang menghadap Harnina. Hanya bebola matanya sahaja yang meratah wajah Harnina dengan pelbagai perasaan.
            Dengan wajah tenang dan beriak biasa Harnina memandang Rizqi. Dia tidak tahu mengapa Rizqi menjadi sedemikian sebenarnya sehinggalah surat itu dicampak oleh Rizqi sebentar tadi. “Surat saya untuk meletak jawatan. Kenapa ya Encik Rizqi? Ada masalah?.” Rizqi terus memandang Harnina dengan pandangan sinis. Entah apa yang berada dalam fikirannya.
            “Awak tanya saya ada masalah ke tidak? Awak tahu tak yang awak ni dah menyusahkan saya?.” Tajam sungguh pandangan mata Rizqi terhadap Harnina. Jelingannya bertambah tajam bila sahaja dia melihatkan wajah Harnina yang beriak selamba. Kedua belah tangannya dimasukkan ke dalam kocek seluar. Pada zaman sekarang ini terlalu sukar untuk dia mendapatkan pekerja, Harnina pula mahu berhenti.
            “Kenapa?.”
            “Boleh tak kalau awak tak menyusahkan saya lagi Harnina?. Awak ingat senang nak cari pekerja sekarang ni?.” Dia terus memuntahkan apa yang ada dalam kotak fikirannya.
            “Kalau awak nak berhenti kerja, saya takkan bayar gaji awak untuk bulan ini. Faham?!!!.”
            “Saya tak kisahlah encik. Yang saya tahu saya nak berhenti kerja ikut tarikh yang saya beri dalam surat tu.” Rizqi semakin menyinga mendengar jawapan Harnina. Dia rasa kian tercabar. Keputusan Harnina untuk meletakkan jawatan benar-benar menggusarkan hati sebenarnya.
            “Awak ni memang sengaja menyusahkan saya kan!!!. Sudahlah kerja banyak, awak pula nak buat hal.” Sekali lagi suaranya melengking kuat.
            “Encik Rizqi, sebab tak mahu menyusahkan encik lagilah saya hantar surat ni untuk memuaskan hati encik.” Dengan penuh hati-hati ayat itu disusun oleh Harnina. Dia sudah memikirkannya masak-masak tentang perletakan jawatan tersebut. Giliran Rizqi terkesima. Wajahnya yang tegang tadi menjadi sedikit kendur dengan kata-kata Harnina. Dia terpaku. Dirinya dihujani dengan 1001 soalan. Pandangan matanya menjadi sedikit redup. Dia tidak tahu mengapa dia menjadi sebegitu lantas tertunduk. Dia merenung biasan wajahnya di meja. Dari biasan kaca itu dia dapat melihat wajah seorang lelaki yang hampir kalah dengan permainan yang sedang dilakukan olehnya tetapi masih dengan egonya.
            “Okey… tak mengapa….” Rizqi jungkit bahu. Dia cuba menahan rasa amarahnya dalam diam. Suaranya menjadi sedikit mendatar berbanding tadi. Dia langsung tidak menyangka Harnina yang tidak banyak karenah itu menjadi pandai untuk menjawab pula hari itu. Sudah habiskah kata-katanya?. Dia mengangkat wajahnya namun tidak mampu untuk merenung wajah Harnina. Kepalanya diangguk-anggukkan beberapa kali. Wajahnya merah menahan amarah. Berdetap detup bunyi jari jemari digenggamnya. Dalam benaknya masih lagi memikirkan sesuatu namun tidak mampu untuk diungkapkan dengan kata-kata.
            “Encik…kalau dah tak ada apa-apa lagi saya minta diri keluar dulu.” Harnina meminta izin untuk keluar walaupun dia nampak Rizqi seperti mahu bercakap lagi. Dia malas mahu melayan majikannya. Tadi marah yang meluap-luap. Sekarang diam pula. Jembalang bisu agaknya yang dah merasuk dirinya, desisnya dalam hati. Lantas dia terus menghayun langkah untuk keluar dari situ sesegera mungkin.
           
RIZQI meraup wajahnya dengan penuh sesalan. Apalah yang hendak dikatakan olehnya lagi. Itulah padahnya. Sesalannya sudah tidak berguna lagi. Beberapa kali sudah rambutnya di gosok hingga menjadi sedikit berserabut. Sama serabutnya juga dengan fikirannya saat itu. Seketika dia memandang surat yang masih berada di atas meja. Apa motif Harnina sebenarnya?. Surat perletakan jawatan yang diterimanya adalah notis empatbelas hari.
            Rizqi terasa menyesal dengan surat yang diterimanya pagi ini. Ianya sungguh memeranjatkan. Sesuatu yang memang diluar jangkaan. Setelah dia membukanya pagi tadi, serta merta dia teringat kata-kata Zain terhadapnya suatu masa dahulu.
            “Kau jangan bebankan dia dengan kerja-kerja Mariam sangat Qi. Aku takut esok-esok dia hantar surat berhenti kerja pula. Antara staf-staf yang kita ada, aku lebih percayakan dia berbanding yang lain”.
            Ayat itu berulangkali bermain di kotak fikiran Rizqi. Akukah yang bersalah? Sekali lagi dia menyoal dirinya. Ego membatasi segalanya. Dia tidak mahu mengaku. Namun, satu bisikan halus pula seakan berkumadang di cuping telinganya, ‘sebab engkaulah budak tu nak berhenti kerja.’ Rizqi sudah tidak keruan. Namun seketika kemudian satu lagi kata-kata yang berkumadang. ‘Banyak lagi orang yang nak kerja jauh lebih baik dari dia. Biarkan ajelah dia tu.’
            Perasaannya berbolak balik. Hati kecilnya sudah tidak keruan. Sekali lagi surat itu dibaca dan ditiliknya. Berulang kali di baca dan ianya masih sama. Tidak ada kurang dan juga lebih. Bunyi ketukan pintu dari luar mematikan segala-galanya.
            “Qi… .” Tersembul wajah kembarnya dengan senyuman yang melebar. Di tangannya tergenggam kemas satu bungkusan plastik. Entah apa yang ada di dalamnya Rizqi tidak pasti.
            “Hah!. Apa kes kau datang ni? Meeting tu kan ditunda dua hari lagi,” Rizqi mengingatkan. Adli memaklumkan dengannya petang semalam.
            “Aku tau lah kau ni lawyer. Kalau tak ada kes aku tak boleh datang jenguk kau ke Qi?.” Bungkusan plastik di tangan di hulur. Serta merta disambut oleh Rizqi. Tanpa berlengah Rizqi membuka bungkusan tersebut. Sambal tumis udang dengan petai yang berada di dalam bekas. Baunya benar-benar menggugat Rizqi. Pasti emaknya yang empunya suruhan.
            “Mama pesan suruh bawakkan untuk kau. Mama kata takut kau balik lewat.” Rizqi tersenyum mendengarnya. Dia tahu mama memang prihatin dengan dirinya walaupun kadangkala menyakitkan hatinya.
            “Qi, lagi satu mama pesan. Hujung minggu ni mama dengan papa nak buat jamuan makan. Kau jangan tak ada pulak kata mama.” Rizqi mengerutkan dahinya. Sesuatu yang luar dari kebiasaannya.
            “Jamuan? Untuk apa?.”
            “Manalah aku tau. Mama pesan macamtu tadi.” Rifqi memandang saudara kembarnya. Sewaktu dia masuk tadi dia nampak Rizqi sedang termenung. Rambutnya kelihatan tidak terurus. Namun mulutnya berat untuk bertanya mengapa dia berkeadaan sebegitu.
            “Kau tak ada kes di mahkamah ke harini Qi?.” Rizqi hanya menggeleng. Dia meletakkan bungkusan di sudut meja sebelum membuka kembali laptop di hadapannya.
            “Kau tu tanya aku, yang kau pulak tak kerja ke harini Ri?.”
            “Aku ni biasalah Qi. Macam kau tak tau. Sama aje kerja dengan tidak.” Rifqi masih memandang saudaranya. Dia terasa bagaikan ada sesuatu yang tidak kena dengan kembarnya. Dengan wajah yang tak terurus, rambut berserabut, wajah tegang.
            “Hurmmmm…. Ri. Aku nak mintak tolong kau sikit boleh tak?.” Pandangan mata mereka bertembung. Hujung jari Rizqi mengetuk-ngetuk meja. Rifqi mengangkat sedikit kening sebagai isyarat.
            “Aku nak cari pekerja lah.”
            “Kenapa?. Mariam tu dah comfirm berhenti kerja ke?.” Tempohari ada juga Rizqi meluahkan rasa risaunya dengan Mariam yang belum pasti dengan statusnya.
            “Tak la. Cuma aku nak cari back-up aje. Lagipun kerja dah semakin  bertambah, tapi pekerja aku cuma ada dua orang aje sekarang ni. Kalau ikutkan, syarikat ni dah boleh tambah pekerja dah. Mariam pulak tak tau apa ceritanya.” Rizqi cuba berdalih. Di kepalanya ada satu persoalan besar yang sedang berlegar-legar. Fikirannya agak bercelaru sejak menerima surat perletakan jawatan dari Harnina pagi ini sebenarnya.
            “Kau iklankanlah. Mesti ramai yang datang untuk interview.” Rifqi mengerling sedikit surat yang terletak di atas meja. Jari-jemarinya menguis-nguis sedikit surat yang bertindih dengan beberapa helai kertas lain tanpa disedari Rizqi. Dia cuba untuk membaca isi kandungan surat yang sejak dari tadi ada di situ.
            “Aku nak iklankan. Tapi sebelum tu aku nak tanya kalau-kalau ada kawan kau yang nak kerja.” Rizqi mencari-cari sikat di dalam laci mejanya. Dia baru teringat untuk menyisir rambutnya yang tidak terurus. Terkekeh-kekeh Rifqi tertawa melihat Rizqi menyikat rambutnya. Biasanya Rizqi tidak begitu tetapi amat berlainan sekali hari ini.
            “Kau ni dah kenapa Qi?. Nak kata gaduh dengan bini, jauh sekali. Nak kata gaduh dengan girlfriend pun… tak ada lagi sampai sekarang. Tapi aku tengok muka kau dengan penampilan kau ni macam tak layak dengan kerjaya kau sekarang ni tau.” Rifqi sengaja mengusik Rizqi. Dia sedar, ada sesuatu yang sedang dipendam oleh Rizqi sebenarnya setelah dia dapat membaca isi kandungan surat yang dicuri-curi baca sebentar tadi. Pasti ada kaitan dengan perkara tersebut, fikirnya. Almaklumlah… mereka kan kembar. Lagipun sewaktu dia mahu masuk tadi dia nampak wajah Harnina yang kelat sahaja. Pasti ada sesuatu yang telah terjadi.
            “Ah…kau mana faham aku Ri.” Dia terus menyisir rambutnya dan membiarkan sahaja Rifqi memandangnya. Yang pastinya, jiwanya resah bila sahaja surat tersebut diterimanya. Apa yang patut aku buat?. Fikiran warasnya masih belum mampu membuat sebarang keputusan. Terlajak perahu boleh di undur, terlajak kata badan binasa. 

Isnin, 2 Disember 2013

SIPUT????



HAA????? SIPUT????



Assalamualaikum semua...

Haaa.... Saya percaya anda semua tahu apa benda pada gambar di atas kan... kan... kan...
Ya.... Itulah dia kuih siput. Tapi kuih siput yang ini ianya disira dengan sambal... atau lebih dikenali sebagai kuih siput sira pedas...

Kalau dulu kuih ni susah kot nak jumpa. Masa raya tu mungkin senanglah nak jumpa. Tapi sekarang, dah banyak di pasaran. Kadang-kadang saya terfikir... kenapalah nenek moyang kita dulu letak siput sebagai simbolik kuih ni????.... Macam ler dah tak ada menatang lain kan. Letak ler mentadak mentadu ker... ketam batu ker...ikan puyu ker... Hehehehe....

Saya masih ingat lagi masa kecik-kecik dulu selalu jugak buat kuih ni. Ala... tolong-tolong jer kan... Saje nak kotor-kotorkan tangan... hehehe

Sebenarnya kuih siput ni adalah sejenis kuih yang diperbuat daripada tepung gandum, tepung ubi dan juga marjerin. Kemudian ditambah pula dengan beberapa jenis rempah (ketumbar, jintan putih, jintan manis dll ) sebelum ianya dibentuk seperti siput dan di goreng. Ada la acuannya untuk membentukkannya seperti seekor siputtt.....


Mungkin ada yang gemar dengan kuih siput biasa dan ada juga yang suka dengan kuih siput yang disira dengan sambal untuk menambahkan rasanya. Itu semua citarasa masing-masing.... Tiada paksaan pun. Yang tak gemar pun ada dengan kuih tradisional seperti ini kan....

Isnin, 25 November 2013

HARNINA - 18



…..L. A. P. A. N.  B. E. L. A. S…..

            Adli??? Membulat mata Harnina melihat susuk tubuh Adli berada di muka pintu pejabatnya. Kebetulan Tanti berada di bilik air ketika itu. Harnina jadi serba tak kena. Adli pula dengan riak wajah yang biasa melangkah masuk. Hanya tinggal beberapa langkah sahaja lagi Adli akan tiba ke mejanya. Hatinya menjadi resah. Dia bimbang jika dia tidak mampu mengawal perasaan. Dia segera menundukkan wajah. Dia tidak tahu samada Adli tahu akan kewujudannya di situ atau tidak. Mujur juga mejanya sedikit tersorok di bahagian belakang.
            “Selamat pagi encik, boleh saya bantu?.” Harnina menarik nafas lega. Tanti muncul tepat pada masanya. Kalau boleh dia mahu menyorok dari pandangan mata Adli. Bila sahaja Tanti sudah menyapa Adli, Harnina sepantas kilat bangun dari tempatnya dan meluru ke pantry. Desah nafasnya jadi tidak keruan. Dia perasan akan perubahan pada air muka Adli saat dia melarikan diri tadi. Mungkin Adli baru perasankan dirinya.
            Mug air di capai di atas rak. Entah mengapa tekaknya terasa kering walhal dia baru sahaja dari bersarapan sebentar tadi. Milo 3 in 1 segera di ambil. Dia membancuh air tersebut perlahan-lahan. Tangannya yang memegang sudu serasa sudah tidak tentu arah tujuannya mengacau air di dalam mug. Sekejap di pusing ke kiri, sekejap ke kanan. Dia tidak bersedia mahu berjumpa dengan Adli setelah peristiwa yang merobek hatinya tempohari. Masih jelas di ruang matanya melihat kemesraan Adli bersama Amira.
            “Ad janji, Ad akan setia pada Nina sampai bila-bila.”
Ayat itu bergema lagi di telinganya. Bagaikan baru semalam Adli menuturkannya. Ayat itulah yang seringkali menjadi pemangkin kerinduannya pada Adli. Namun semua itu musnah dengan peristiwa yang tidak sampai lima minit berlaku di hadapan matanya.
            Bunyi tapak kasut yang menuju ke arah pantry langsung tidak dihiraukannya. Jari-jemarinya bagaikan leka dengan sudu yang dikacau dalam air yang entah ke mana arah tujuannya. Harnina kembali tersedar bila sahaja kedengaran pintu mengerekot bila dibuka. Wajah Tanti dengan rambutnya yang separas bahu tersembul di muka pintu.
            “Na…Encik Rizqi..”. Belum sempat Tanti menghabiskan ayatnya lagu Najwa Latif berkumandang di pantry itu. Cepat-cepat Harnina menjawab tanpa memikirkan siapakah pemanggilnya.
            “Ya.. Sekejap ya. Nanti saya sampai.”
Tanti tersenyum. Dia bagaikan sudah dapat meneka siapakah gerangan sang pemanggil. Harnina memandang Tanti tanpa sebarang reaksi. Perlukah dia meminta bantuan Tanti?. Tanti sudah menutup kembali pintu pantry. Dia yakin Harnina sudah tahu tentang Rizqi yang mencarinya. Harnina membawa mug berisi air milo panas keluar dari situ. Fikirannya menerawang, matanya mencari-cari kelibat Adli yang sebentar tadi ada di kawasan itu. Dengan langkah yang berhati-hati dia menuju ke meja. Di pertengahan perjalanan dia teringatkan telefon bimbitnya yang tertinggal di pantry. Dengan pantas dia berpusing kembali. Elok sahaja dia berpaling, Rifqi muncul di belakangnya. Dengan tidak semena-mena milo panas di tangan tersimbah pada Rifqi. Lelaki itu langsung tidak sempat mengelak. Harnina jadi panik.
            “Auchhhh!!!.” Suara Rifqi menjerit terkena simbahan milo panas. Tanti yang berada di mejanya segera mendapati mereka berdua.
            Mug di tangan Harnina segera diberikan pada Tanti. Tanti jadi tergamam. Harnina mencapai tisu tidak jauh dari situ lalu mengelap-ngelap baju yang basah dek terkena air milo. Mulutnya tak henti-henti meminta maaf. Dia tahu dia yang bersalah. Dia yang tak berhati-hati.
            “Errr…maaf Encik Rizqi… saya tak perasan. Saya terkejut encik ada di belakang saya tadi.” Jari-jemarinya ligat membersihkan kesan air yang terkena pada pakaian lelaki itu. Dia mengutuk dirinya berulang kali kerana tidak berhati-hati.
            “Errr…tak apalah. Dah rezeki saya nak kena mandi dengan air milo hari ni.” Rifqi tersenyum memandang Harnina. Sakit kulitnya terkena air panas itu tadi serta-merta hilang bila sahaja terpandangkan Marshanda versi Malaysia yang sedang berada di hadapannya.
            “Ri….kenapa?.” Muncul Rizqi di pintu biliknya bersama Adli sebaik mendengar keadaan yang sedikit kecoh sebentar tadi. Masing-masing memandang antara satu sama lain. Harnina berpaling bila sahaja mendengar suara Rizqi.
            ‘Hahhhhhh?’. Sekali lagi dia terkejut. Tisu di tangan hampir di sua pula pada mulut Rifqi. Matanya langsung tidak berkelip memandang antara Rifqi dan Rizqi. Sekejap ke belakang dan sekejap ke hadapan dia memandang. Dia bagaikan duduk di hadapan cermin!. Kedua-duanya serupa. Warna dan jenis pakaian yang di pakai sahaja yang membezakan antara keduanya.

“HARNINA awak ni kenapa?.” Melengking suara Rizqi di dalam bilik itu. Saat itu hanya dia dan Rizqi sahaja yang ada. Rifqi sudah keluar dari bangunan itu. Adli pun sama. Yang tinggal hanyalah dia yang diminta oleh Rizqi untuk bertemu dengannya setelah tetamu-tetamu itu tadi pulang.
            “Maafkan saya…. Saya nak ambil telefon saya tadi.” Dia menjawab juga soalan Rizqi yang penuh dengan emosi dengan lancar. Tengkingan lelaki itu benar-benar menakutkan. Serasa bagaikan bergoncang bangunan lima tingkat itu dengan suara Rizqi yang kuat.
            “Awak ni betul-betul menyusahkan saya tahu tak?. Disebabkan awak saya terpaksa tangguhkan mesyuarat dengan client saya tadi. Awak ni langsung tak tahu nak jaga bisnes. Kerana awak tadi saya hampir kehilangan client besar tau tak??!!!” Bengang sungguh kedengaran suara Rizqi. Mukanya merah padam. Kerana Harnina yang secara tak sengaja tersimbah air panas pada Rifqi, dia terpaksa menunda mesyuaratnya bersama Adli dan Rifqi sebentar tadi. Sepatutnya mesyuarat itu sudah mendapat kata putus. Tetapi Rifqi meminta diri untuk pulang terlebih dahulu kerana dia tidak selesa dengan keadaan sebegitu membuatkan Adli juga terpaksa mengundurkan diri kerana dia ada urusan lain. Secara tidak langsungnya mesyuarat ditangguhkan.
            Dia merasakan hari ini adalah hari malangnya. Semuanya gara-gara Adli. Kalau tak kerana Adli tadi, pasti perkara itu tidak akan terjadi. Namun dia tertanya-tanya atas urusan apakah Adli datang menemui Rizqi?. Keduanya, dia tidak menyangka pula majikannya mempunyai kembar seiras. Semuanya berlegar-legar di dalam mindanya.
           
“Na… kau okey ke?.” Suara Tanti penuh simpati kedengaran di cuping telinga Harnina sebaik sahaja dia keluar dari bilik Rizqi. Suara tengkingan Rizqi dari dalam bilik itu tadi benar-benar merisaukannya. Semenjak Harnina menggantikan tempat Mariam, ada-ada sahaja hal kecil yang Rizqi sengaja perbesarkan.
            “Okey… .” Jawab Harnina lemah. Masih jelas di wajahnya dengan pertemuan lapan mata antara dia, Adli, Rifqi dan Rizqi tadi. Dia terperanjat bila sahaja Adli masuk ke pejabat itu tadi kemudian dia mahu melarikan diri dari Adli. Namun, dia tidak pula menyangka Rizqi mempunyai kembar seiras iaitu Rifqi. Dia jadi tergamam mengingati peristiwa itu satu persatu. Semuanya berlaku terlalu singkat.
            “Na… aku dengar telefon kau tu dah banyak message yang masuk. Cubalah kau tengok.” Risau pula Tanti melihatkan Harnina. Jika dia berada di tempat Harnina tadi, pasti dia juga berkeadaan sebegitu bahkan mungkin lebih teruk lagi. Harnina mengambil telefon bimbitnya. Dia menekan-nekan skrin tersebut. ‘Banyaknya message dan missed called.
            ‘Nina, Ad nak jumpa lepas tamat mesyuarat dengan Rizqi. Maaf tadi Ad tak dapat nak cakap apa-apa.’ – ADLI
Message ke dua pula di buka daripada nombor yang tidak dikenali.
            ‘Harnina, saya minta maaf. Saya buat awak jadi terperanjat tadi. Maafkan saya’ – RIFQI

Ada beberapa message lagi yang tidak dibaca oleh Harnina. Dia tidak berminat untuk membacanya kerana kesemuanya dari Adli. Dia menutup telefon dan diletakkan di tepi. Mindanya tidak dapat berfungsi dengan baik hari ini. Mungkin kerana terperanjat dan juga menjadi bahan kemarahan Rizqi tadi. Hamburan kata-kata Rizqi yang begitu menyakitkan bukan sahaja telinga bahkan hatinya juga. Namun disebalik itu ada seperkara lagi yang benar-benar memeranjatkan dia.
            “Na… .” Panggilan Tanti sekali lagi menghentikan lamunan Harnina. Tanti sudah berada di sisinya. Sejak peristiwa tadi Tanti nampak begitu risau sekali kerana dia tidak pernah melihat Rizqi mengamuk sebegitu sekali.
            Harnina memaksa dirinya untuk senyum meskipun pahit.
            “Aku okey la. Jangan risau,” ujarnya disulami senyuman pahit. Hakikatnya, fikirannya kosong. Dia menerawang entah ke mana. Matanya sahaja yang melekap pada skrin komputer sejak tadi.
            “Na, aku tak tau la kenapa bos tu asyik nak marah kau aje.”
            “Kenapa?.” Harnina segera menoleh. Kata-kata Tanti menarik perhatiannya.
            “Aku pun tak tau. Dulu masa Kak Mariam yang jaga bahagian ni, bos tu taklah macamtu. Okey je aku tengok dia. Tapi sejak kau yang jaga, kerja yang betul pun jadi salah. Aku pun jadi tak faham,” ujar Tanti jujur. Harnina mengeluh kecil. Adakah dia bekerja tidak sebaik dan sebagus Mariam?. Jika benar, dia tahulah mengapa Rizqi selalu memarahinya. Hatinya sakit bila sahaja ditempik sedemikian tadi.

Ahad, 24 November 2013

GRADUATION DAY



~ THE BEST MOMENT ~







Huhuhu.... Tamat dah sesi pembelajaran anaknda. Rasa terharu pun ada. Tak sangka... dia ni terlalu pemalu. Kalau duduk kat kedai makan dan tanya nak minum air apa pun dia senyap membisu kalau pelayan ada kat situ. Macamtu jugak kalau pilih baju dan promoter ada kat sebelah. Kalau tanya siapa nama pun dia takkan jawab kecuali dengan orang-orang yang dia dah biasa sahaja. Tapi, bila sahaja kata ada concert... mak datukk... dialah yang paling excited.

Mula-mula tu tertanya-tanya jugak la... risau pun ada. Takut tiba masa nanti dia taknak pulak menari kat pentas tu. Rupa-rupanya tidak... Syukur alhamdulillah... Boleh pulak dia menari dengan jayanya...

Sekolah ni bagus... cikgunya pun baik dan selalu berikan kerjasama. Cuma itulah... Saya ni bekerja dan bukannya boleh keluar sesuka hati. Apa pun... terima sebagai cabaran dan dugaan. Setiap ibu bapa memang hendakkan yang terbaik untuk anak-anak mereka kan. 

Semoga anak-anak ini akan melakarkan sejarah kehidupan mereka sendiri dengan sejuta kenangan terindah yang tercipta...

Aminnnn.....

















Sabtu, 23 November 2013

Cerita Hari Ini

TEMPE OH TEMPE

Huh... dah lama sangat tak update blog ni. Yang sebenarnya agak sibuk sedikit dengan tugasan yang melambak banyaknya. So, cerita Harnina pun tak sempat nak update hingga yang terkini. 

Mungkin ramai yang tertanya-tanya apa tujuan blog ini pada saya. Ianya adalah sebagai satu medium untuk saya 'sekadar berkongsi cerita.' Ianya adalah berkaitan dengan peluang dan ruang yang saya ada di sebalik kesibukan yang ada.

Okeylah... sebenarnya saya nak bercerita perihal TEMPE. Ramai tahu tentang tempe... tapi tak ramai yang tahu tentang saya yang menjual tempe ni. Hahahaha...

Kisahnya bermula sekitar 13 tahun yang lalu. Waktu itu saya berulang alik dari Batu Pahat ke Kuala Lumpur kerana saya mengikuti sesi pembelajaran di sana. Entah macamana, saya mendapat idea untuk membuat jualan runcit secara kecil-kecilan produk ini. Selama setahun saya menjual produk ini kemudiannya saya ditawarkan kerja. Ketika itu saya langsung tak terfikir untuk menyambung jualan tempe ini. Hinggalah setelah berbelas tahun meninggalkan perihal tempe ini, seorang kawan saya bertanya... ' Tak nak jual lagi ke?. Aku nak beli,' katanya. 

Dalam keadaan yang singkat, saya pun mengambil keputusan mencari produk ini dan akhirnya mendapat kembali tempe sebagaimana yang pernah saya jual. Pada hari pertama saya meletakkan status tempe ini... tidaklah ramai yang memberikan respon yang baik. Masuk hari kedua, ramai sahabat-sahabat lama saya mula bertanya dan mula membuat pesanan.

Syukur alhamdulillah.... akhirnya tempe sira pedas yang saya jual mendapat sambutan...




Khamis, 19 September 2013

HARNINA - 17



…..T. U. J. U. H.  B. E. L. A. S…..

            Zain melihat Harnina yang bagaikan tidak cukup tangan dengan kerjanya. Sesekali dilihatnya Harnina ada di tempat duduknya sediada dan tidak sampai beberapa minit kemudian dia sudah berubah di bahagian lain. Timbul pula rasa kasihan di hati Zain terhadap Harnina. Panggilan telefon yang diterima olehnya dari Mariam semalam benar-benar menjerat dia. Antara kasihan dan tugasan. Pagi ini suami Mariam telah datang menemuinya membawa surat permohonan cuti selama sebulan lagi sepertimana yang dijanjikan.
            “Nina”, laung Zain terhadap Harnina yang sedang sarat dengan fail-fail di tangan. Gadis yang bertubuh langsing itu menoleh. Fail-fail yang dikendongnya tadi diletakkan di atas meja.
            “Jumpa saya sekejap”. Lantas Zain masuk semula ke dalam biliknya. Berat juga dia untuk menyuarakan namun apakan dayanya.
            “Ya, Encik Zain nak jumpa saya?”. Punggung dilabuhkan di atas kerusi berhadapan bosnya.
            “Nina, berapa lama lagi awak akan buat kerja-kerja Mariam agaknya ya?”.
            “Dua minggu sahaja lagi encik. Kenapa?”. Wajahnya nampak ceria. Mungkin kerana dia akan melepaskan satu tugasan yang berat selepas ini dan akan kembali melakukan tugasnya  sahaja.
            “Hmm…. Sebenarnya berat saya nak beritahu kamu ni Nina”. Zain berdehem kecil sebelum meneruskan kata-katanya. Harnina terasa hairan dengan kelakuan bosnya.
            “Mariam mohon cuti tanpa gaji selama sebulan. Sebab anaknya ada masalah kesihatan”. Sungguh Harnina tidak terduga dengan situasi sekarang. Dia hanya mendiamkan diri sahaja. Membiarkan Zain berteka teki dengan sikap Harnina saat itu. Zain hanya memandang Harnina yang sepi tanpa ulasan.
            “Nina, awak sanggup atau tidak untuk sambung tugasan Mariam selama sebulan lagi?”. Timbul pula rasa kasihan pada Harnina. Gadis itu nampak agak tertekan dengan dua tugasan yang dilakukan sebagaimana sekarang.
            “Encik Zain ada cadangan lain tak selain daripada saya memangku dua tugasan tu?”. Harnina sudah tidak terdaya dengan beban yang dipikulnya. Sebenarnya, perkara yang dia tidak sanggup adalah bekerja di bawah seliaan Rizqi. Pemerintahan kuku besi!.
            “Kenapa?”, soal Encik Zain sekadar ingin tahu atau lebih tepat sekali ingin mengorek rahsia.
            “Saya lebih suka jaga fail-fail tu berbanding dengan buat tugasan Mariam”.
            “Atau…awak tak selesa bekerja dengan Rizqi?”. Melebar senyum di bibir Zain. Ternyata tepat sekali tekaannya. Tapi, tidak perlulah untuk dibesar-besarkan. Harnina hanya jungkit bahu. Tidak mahu bosnya tahu perihal itu. Masakan tidak, Zain dan Rizqi adalah rakan kongsi. Adalah jauh lebih baik dia mengambil sikap mendiamkan diri daripada memberikan sebarang komen.
            “Kalau mengikut prestasi yang Rizqi berikan pada saya tentang awak, awak seorang yang bagus dan cepat belajar Nina”. Senyuman yang mekar di bibir Zain tidak memberikan apa-apa makna pada Harnina. Bagi diri Harnina, dia lebih gemar bekerja tanpa tekanan. Jadi, semua tugasan yang dibuat lahir daripada hati yang ikhlas.
            “Encik Zain, kalau ikutkan saya memang dah tak mahu lagi ganti tempat kak Mariam. Saya rasa Tanti lebih layak daripada saya ataupun cari seorang lagi pekerja baru. Lagipun, bukankah lebih mudah sebab Tanti melapor dengan Encik Rizqi juga”. Sebenarnya, dia sudah tidak sanggup untuk berhadapan dengan Encik Rizqi yang terlalu autokratik itu.
            “Assalamualaikum…”. Seseorang datang memberi salam tanpa mengetuk pintu terlebih dahulu. Suara itu tidak lain dan tidak bukan adalah milik Rizqi. Tapi kelihatan dia lebih ceria daripada biasa. Harnina mengeluh di dalam hati. Rizqi ni pantang disebut, pasti muncul sahaja.
            Mereka berdua bersalaman dan saling bertanya khabar, ibarat sudah berbulan tidak bertemu. Situasi yang sekali sekala sahaja Nina dapat lihat sepanjang dia berkhidmat di situ.
            “Zain…kau….”. Rifqi Melirik ke arah Harnina dan Zain silih berganti beserta dengan jari telunjuknya. Dia cuba meneka sesuatu dari Zain. Harnina hanya mendiamkan diri.
            “Oh…ya, aku tengah discuss dengan Nina ni tentang Mariam. Nina ni dah taknak lagi sambung tugasan Mariam. Apa pendapat kau?”. Encik Zain sengaja mahu membuka ruang untuk Rifqi bersuara. Dia tahu, Harnina tidak terhidu lagi siapa yang sebenarnya yang berada di sisinya itu.
            “Aku??? Pendapat aku?”. Rifqi menunjukkan kedua-dua ibu jarinya kepada dirinya sendiri. Zain hanya mengangguk-anggukkan kepala. Mengiyakan soalan yang bertalu-talu.
            “Hurmmm…” Rifqi memandang Harnina dari atas hingga ke bawah. Macam tak pernah tengok orang pula lagaknya menjadikan Harnina terasa rimas.
            “Encik Rizqi, saya rasa Tanti lebih sesuai dengan tugasan tu”. Harnina yang rimas diperhatikan sebegitu terus sahaja bersuara. Kalau boleh saat itu juga dia mahu keluar dari bilik tersebut mencari sudu atau garfu untuk mencungkil mata insan yang duduk di sebelahnya. Macam tak pernah tengok orang langsung, desis hatinya.
            “Tak patut…tak patut…. Zain, aku cadangkan kita naikkan gred dia ni untuk kekal di tempat Mariam sekarang. Jadi, tempat dia kita akan ambil pekerja baru. Soal Mariam tu nanti kita fikirkan bersama”. Rifqi bersuara dengan nada riang. Zain pula hanya tertawa sambil mengeleng-gelengkan kepalannya.
            “Macamnilah Nina. Bagi saya dan Rizqi berbincang dahulu. Kemudian bila kami dah dapat kata sepakat, saya akan maklumkan pada awak ye. Buat sementara waktu ni awak buat sahaja kerja lama awak untuk daftar penerimaan fail dan tugasan Mariam tak perlulah awak risaukan”. Harnina terus meminta izin untuk keluar dari bilik itu dengan satu senyuman yang puas. Puas kerana di akhir kata-kata Encik Zain seolah-olah menjanjikan dia tidak perlu melakukan tugasan Mariam lagi.

TINTA HATIKU...


Aduhai... dah lama tak sempat nak upload apa-apa di blog ni.
Walaubagaimanapun, semangat saya tetap berkobar-kobar di dalam
bidang ini semenjak berpuluh tahun lagi.

Mungkin inilah peluang yang ada bagi merealisasikan apa yang hendak di 
ketengahkan. Mungkin minat serta sokongan terus menerus tanpa pernah padam
menjadikan saya lebih bersemangat di dalam banyak hal...

Yeahhh... dah lama tak menulis kerana saya sedang menyiapkan assignment
terakhir saya untuk dihantar. Banyak sangat yang dilakukan dalam separuh
masa luar bidang kerja sebenar. Walau apa sekalipun... nawaitu itu yang lebih 
penting bukan?...

Dalam keadaan yang kurang sihat dan sebagainya menjadikan saya lebih banyak mendiamkan
diri berbanding dari biasa. Apa tidaknya, setiap detik waktu berlalu ada sahaja aktiviti
yang perlu dilakukan. Timbunan kerja di pejabat mahupun di rumah menjadikan saya 
perlu bergerak terhad daripada kebiasaan...


Entri kali ini adalah lebih kepada BISIKAN HATI lah kononnya...hehehe...


 

Isnin, 19 Ogos 2013

HARNINA - 16






…..E. N. A. M. B. E. L. A. S…..

            Wan Humaira melihat jam di tangan. Sudah terlambatkah dia?, ujarnya dalam hati. Dari jauh papan tanda Restoran Along jelas kelihatan. Dia membelokkan keretanya ke kawasan pakir yang hampir separuh penuh. Dengan berhati-hati dia memakirkan kereta Wira miliknya.
            Sebaik sahaja handbreak ditarik, telefon bimbitnya berbunyi minta di angkat. Wan Humaira yakin pastinya daripada sahabat baiknya, Harnina.
            “Assalamualaikum… ya, ya aku dah sampai ni”. Telefon bimbitnya dimasukkan ke dalam beg tangan semula dan dengan keadaan tergesa-gesa dia keluar dari keretanya. Dalam keadaan tergesa-gesa itulah dia terlanggar seseorang.
            “Ouchhhhh…..”, wanita itu menjerit.
            “Maaf ya cik…errr….puan…..Saya tak sengaja”. Wan Humaira tergagap-gagap dan mengakui silapnya. Dia yang hendak cepat itu terlanggar dengan seseorang.
            “Huh!!! Jalan mata letak kat mana lah!”. Terdengar wanita itu mendengus marah. Wajahnya yang cantik serta rambutnya yang panjang mengurai itu sudah nampak tidak cantik bila dia marah. Berulang kali Humaira meminta maaf di atas kesilapannya. Lelaki yang berada di sebelah wanita itu dengan penuh toleransi menerima maaf daripada Humaira dan meminta maaf bagi pihak kekasihnya pula dan melepaskan Humaira berlalu pergi.
            Harnina yang nampak Wan Humaira sedang berjalan ke arah restoran segera melambai-lambaikan tangan. Kedudukan meja yang jelas untuk dilihat tidak menyukarkan Wan Humaira melihat lambaian sahabatnya lantas dia membalas kembali lambaian tersebut. Hazman yang berada di sebelah turut tersenyum melihat Humaira yang datang menghampiri mereka berdua.
            “Sorry beb aku terlambat”, desah nafas Humaira turun naik jelas kedengaran di cuping telinga Harnina sewaktu mereka berpelukan.
            “Hei, kau berlari atau kena kejar dengan anjing ni?”, seloroh Harnina.
Humaira mengambil tempat duduknya berhadapan dengan Harnina dan Hazman.
            “Harimau… Hai Man. Apa khabar?”. Humaira cepat bertanya khabar dengan Hazman. Hazman tersenyum sambil membalas dengan anggukkan sahaja.
            “Weih…kau ni, apa yang harimau? Kau panggil Abang Hazman ni harimau?”. Biji mata sengaja dijegilkan pada Humaira. Dah berpuluh tahun tak berjumpa dengan Abang Hazman tiba-tiba Humaira menggelarnya dengan panggilan ‘harimau’ pula malam itu.
            “Tidaklah. Kau tanya aku kan tadi kena kejar anjing ke? Jawapan aku harimau”. Masih jelas lagi wajah wanita yang terlanggar dengan Humaira sebentar tadi. Menjerit bagaikan ditusuk dengan pisau pula lagaknya. Humaira membelek kasutnya. Serasanya dia hanya memakai selipar jepun sahaja malam itu.
            “Harimau mana ni Mai?”, ujar Hazman sambil menghulurkan pinggan berisi nasi goreng kampung kepada Humaira bersama dengan air carrot ais yang memang dipesan khas untuk Humaira.
            “Uiiii…..korang masih ingat ye aku suka makan apa. Terharunya aku…”. Dia menghidu-hidu bau nasi goreng tersebut. Terselit rasa bangga di hati Humaira memiliki kawan seperti Harnina dan abangnya, Hazman. Tak sia-sia dia berkawan baik sejak dari kecil lagi.
            “Mai, aku tanya kau tadi harimau mana kau jumpa?”, ulang Hazman. Harnina hanya menjadi pendengar sambil menyedut minumannya.
            “Ohh…sorry..”. Humaira sudah membuat wajah cutenya di hadapan dua beradik itu.
            “Aku terlanggar sorang perempuan tadi. Cantik, bergaya… Gred A”. Ibu jarinya dinaikkan menggambarkan tanda bagus. Sesudu nasi goreng masuk ke dalam mulutnya. Tadi wanita ‘harimau’ itu menjadi perhatiannya tapi sekarang nasi goreng kampung ini lebih menggoda.
            “Habis tu kenapa?”.
            Melihatkan sesudu demi sesudu nasi goreng masuk ke dalam mulut Humaira menjadikan Harnina tidak sabar hendak mendengar cerita sahabatnya itu.
            “Tercekik nanti”. Hazman merapatkan pula air kepada Humaira.
            “Aku nak cepat tadi, masa keluar dari kereta aku terlanggar seorang perempuan cantik dengan pakwe dia. Dia menjerit mak datukkkk….. mengalahkan apalah tadi. Aku mintak maaf sangat-sangat tapi dia cakap macam-macam. Penyudahnya pakwe dia yang mintak maaf bagi pihak dia pada aku. Nasib baiklah pakwe dia handsome. Hehehe…”. Masih terngiang-ngiang lagi suara wanita yang menjerit bila Humaira terlanggar dengannya tadi di telinga.
            “Ohh…itu yang harimau kau kata?”, sedikit tergelak Harnina mendengar cerita dari sahabatnya.
            “Sebenarnya apa hal yang kau beriya-iya nak jumpa dengan aku ni Nina?”, Humaira menghabiskan sisa nasi goreng kampungnya dengan sungguh berselera lagi. Tidak rugi rasanya bila dia bersetuju untuk datang bertemu dengan Harnina kelmarin.
            “Aku dengan Abang Hazman nak ajak kau makan”.
Tersenyum Humaira mendengar jawapan yang tidak diduga dari Harnina. Seketika kemudian mukanya menjadi kemerah-merahan menahan malu. Sudahlah dia makan dengan begitu lahap sekali tadi, inikan pula dua beradik ini mahu mengajak dia makan sahaja.
            “Kenapa? Kau malu ke?”. Abang Hazman memang agak pendiam tapi kalau dah berbunyi, habislah disakatnya semua orang terutama si Humaira ni.
            “Bekejar-kejar aku harini tau. Siap ambil cuti lagi dengan bapak aku semata-mata nak jumpa dengan kauorang berdua. Sampai sini kau orang kata nak ajak aku makan aje? Aku tau la aku ni memang kuat makan. Dulu pun masa kecik-kecik pantang kalau Mak Leha atau mak kau ajak makan, akulah yang datang dulu”. Humaira sudah mengimbas zaman lampau mereka membuatkan kedua beradik itu terkekeh-kekeh ketawa.
            “Ada aku kisah???”. Abang Hazman menambah lagi.
            “Hisyy Abang Man ni”. Dia menyiku sedikit abangnya.
            “Mai, sebenarnya aku ajak kau datang ni sebab aku ada perkara nak mintak tolong dengan kau tau tak?”, sambungnya lagi.
            “Hah…apa la tu nak mintak tolong bagai dengan aku macam dah tak boleh nak cakap dalam telefon pulak”. Perut dah kenyang mulut macam murai pulak si Wan Humaira ni. Bukan senang untuk bersembang dengan Humaira semenjak kedai runcit di kampungnya sudah di buka.
            “Abang Man ni…”, Harnina menyiku Hazman sekali lagi yang tersenyum macam kerang busuk di sebelah. Mata Humaira beralih kepada Hazman pula.
            “Sebelum tu aku nak tanya dulu ni Mai, kau tau tak yang aku ni dah bertunang?”, Hazman memulakan bicara bila mata Humaira sudah melekap padanya.
            “E’eh…hujan tidak ribut pun tidak, lepastu tanya aku pulak tau atau tidak. Yang korang dua beradik ni ada ke jemput atau beritahu aku hah?”. Mata Humaira sudah silih berganti memandang dua mahluk yang berada di hadapannya. Kedua-dua mereka tersenyum sumbing.
            “Abistu kalau kau dah bertunang apasal Man?”. Humaira malas mahu cakap banyak, perut sudah kenyang dan badan pun sudah terasa letihnya. Apa tidaknya, sebaik selesai sahaja menghantar barang-barang di rumah Haji Khamis tadi dia memeriksa kedainya pula sebelum di tutup kemudian dia  terus bergegas datang ke tempat yang dijanjikan.
            “Kau kan pandai buat andaman pengantin kan Mai. Aku ingat nak ambik pakej kau aje, boleh?”.
            Hazman bagaikan mengerti dengan keletihan yang ditanggung oleh Humaira terus sahaja memaklumkan perkara sebenar tanpa berselindung lagi.
            “Kejap..kejap..kejap”, Humaira mengangkat tangannya menyuruh Hazman berhenti seketika. Dia membuka beg tangannya dan mencari sesuatu. Tidak berapa lama kemudian dia mengeluarkan beberapa helai pamplet beserta pen dan buku nota. Kesemua pamplet itu diserahkan kepada Hazman manakala buku nota beserta pen berada di tangannya.
            “Ini pakej yang butik aku tawarkan. Kau Man boleh pilih ikut bajet yang kau ada ni…” Humaira bercerita dengan penuh semangat sekali. Memang patutlah dia ni jadi businesswomen, bercakap memang tip top. Pantang ada peluang dapatkan income semua dah tersedia dalam beg tangannya yang besar itu rupanya. Humaira memang seorang yang berkebolehan dalam menguruskan bisnes. Setelah kedai runcitnya di kawasan kampung tersebut beroperasi, tugasnya lebih banyak di habiskan di kedai runcit manakala butik andamannya telah dipertanggungjawabkan kepada sepupunya, Nisa.

Khamis, 15 Ogos 2013

HARNINA - 15






..... L. I. M. A. B. E. L. A. S.....

Pagi-pagi minggu Harnina sudah mendengar suara riuh di halaman rumahnya. Pasti emak dan ayahnya sedang rancak berbual di luar. Dia menguak sedikit jendela dari biliknya. Matahari sudah meninggi. Matanya terpejam celik menahan silau dari sinaran sang mentari. Dia membesarkan sedikit matanya mencari-cari arah datangnya suara itu. Ternyata bukan suara emak dan ayahnya. Tapi suara emak dan…. seseorang yang sudah lama tidak ditemuinya. Tapi siapa ya?. Otaknya ligat berfikir mencari titik noktah empunya suara.
            ‘Biarlah…pedulikan saja’, bisik kata hatinya. Dia terus duduk di birai katil. Terkebil-kebil matanya memandang jam di dinding. Baru pukul 8.30 pagi. Selepas subuh tadi dia terus tertidur semula memandangkan dia langsung tiada aktiviti yang perlu dilakukannya hari ini. Sesekali cuping telinganya dapat menangkap perbualan emaknya yang sekali sekala menyebut-nyebut namanya. Dia kembali semula ke jendela. Anak matanya menyorot pada sang tetamu emak yang sedang berbual-bual kosong dengan emak yang sedang elok duduk di atas  pangkin. Orangnya yang sedikit gempal dan berkulit cerah sedang memegang bakul yang penuh dengan sayur-sayuran dan barang-barang keperluan dapur di dalamnya. Seingatnya tidak ada pula antara jiran-jirannya yang sedemikian. Siapa pula ya?. Sekali lagi hatinya dipagut dengan persoalan yang tiada jawapan.
            Dia terus mengemaskan bilik tidurnya. Setelah membersihkan dirinya dengan ala kadar, dengan pakaian tidur dia terus menuju ke muka pintu.
            “Hah… inilah Harnina”, ujar emaknya memperkenalkan dirinya kepada si tetamu. Harnina hanya tersenyum.
            “Lawa anak kamu sekarang ni Jah.” Harnina turun dan terus bersalaman dengan si tetamu. Tetamu emak yang di tangannya sarat dengan barangan dapur terus memuji-muji Harnina.
            “Kamu ni pun Yah. Tengoklah siapa pula emaknya.” Mak Jah sudah tersenyum simpul sambil menegakkan badannya.
            “Dah lama Mak Yah tak jumpa kamu ni Nina.”
            “Ni Mak Yah popia ke?.” Perlahan-lahan dia bertanya.
            “Eh kamu ni Nina. Itulah… jarang balik kampung. Sampaikan Mak Yah pun kamu dah tak kenal,” sambung emaknya. Harnina menelan liur. Dalam hatinya menyesal dia turun bertemu dengan tetamu yang tak di undang emak. Setahunya Mak Yah serta keluarganya telah lama meninggalkan kampung dan tinggal di Kuala Lumpur. Kenapa pula tiba-tiba boleh ada di kampung pula? Tapi, sejak bila?.
            Suara emak dan Mak Yah kembali menerjah cuping telinganya. Dia yang terdiam tadi langsung tidak diperdulikan. Kemudian perlahan-lahan dia meminta diri untuk naik ke atas. Dalam fikirannya pelbagai persoalan yang ada.

            “Mak... .” Begitu perlahan suara Harnina yang sudah duduk di meja makan. Nasi goreng yang diceduk tadi terasa pahit di tekaknya.
            “Hah. Ada apa Nina?.” Soal Mak Jah seraya menoleh kepada Harnina yang duduk di sudut meja.
            “Sejak bila pulak Mak Yah tu balik kampung semula?.” Semalam semasa dia balik dia langsung tidak perasankan rumah banglo tersebut. Setahunya rumah itu memang telah lama kosong dan hanya Pak Mat dan Hajah Faridah sahaja yang di amanahkan untuk menjaganya.
            “Dah nak dekat sebulan dah dia balik.”
            “Sebulan?.”
            “Iyalah, sebulan. Kamu tu yang dah sebulan lebih tak pernah balik kampung ni.” Kata-kata emak seakan memerli sahaja lagaknya. Sebelum ini dialah yang paling rajin balik ke kampung setiap bulan. Tetapi sejak akhir-akhir ini dia jarang sekali balik kerana terpaksa menghadiri kelas pada hujung minggu.
            “Nina ada kelas la mak… .” Dia malas mahu bercakap panjang lebar lagi pada emaknya. Pandangan mata emak seolah-olah ingin menyuarakan sesuatu tetapi maksudnya tidak kesampaian.
            “Kenapa mak?.” Harnina segera bertanya bila emaknya memandang sedari tadi.
            “Tak ada apa.” Cepat-cepat tangan emaknya menceduk nasi goreng ke dalam pinggan.
Telefon bimbit Harnina di ruang tamu berbunyi. Dia sengaja membiarkan. Pandangan Mak Jah beralih memandang anaknya. Kemudian lehernya panjang menjenguk ke ruang tengah.
            “Nina, telefon kamu tu.”
            “Biarkanlah mak. Nina tengah makan ni. Nanti pandailah telefon tu berhenti berbunyi,” jawabnya acuh tak acuh. Tetapi emaknya pula berasa rimas bila telefon itu berbunyi kembali. Mak Jah berdiri dan mengambil telefon tersebut. Dia menyuakan kepada Harnina.
            “Kan dah mati ni mak.” Telefon diletakkan di atas meja.
            “Rimaslah mak bunyi banyak kali. Cuba jawab. Manalah tahu hal penting.”
            Harnina melihat nama si pemanggil. Pastinya Adli, desis hati kecilnya. dia menyentuh skrin telefon. ‘Rizqi?’ hampir tidak percaya pula dia bila melihat nama itu yang tertera. Jika tadi dia merasakan panggilan yang berulangkali itu adalah dari Adli tetapi kini sudah berubah. Dia jadi risau pula. Pastinya Rizqi akan memarahinya jika tidak menjawab panggilan. ‘Ah, biarlah. Lagipun hari minggu. Bukannya hari kerja pun,’ omelnya dalam hati lagi.
            “Hah. Tu muka tu macamtu kenapa? Betul tak mak kata, panggilan penting tadi. Kalau tidak takkanlah berbunyi berulang kali.” Tekaan emaknya benar-benar belaka. Tapi, kenapa pula Rizqi mencarinya pagi-pagi begini?
            “Tak lah mak. Cuma Nina pelik sikit.”
            “Pelik???.” Giliran emaknya pula mengerutkan dahi sambil menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Hinggakan senget serkup yang di pakai. Harnina hanya mengangguk sambil tersenyum memandang emaknya. Gelihati pula dia melihat emaknya dengan serkup yang sudah senget di kepala.
            “Kenapa?.” Mak Jah bagaikan tahu pula tentang serkupnya yang sudah sedikit senget. Dia membetulkannya sedikit sebelum meneruskan suapan nasi gorengnya.
            Pinggan yang sudah kosong di tolak sedikit ke tengah. Air teh panas yang dituang ditarik berhampiran. “Bos Nina ni pagi-pagi telefon. Entah apa yang dia nak ntah.”
            “Dia nak kamu agaknya,” Mak Jah berseloroh membuatkan Harnina terus meneguk air yang panas tanpa sempat berfikir panjang. Semuanya berlaku di luar jangkaan. Cepat-cepat dia mengipas-ngipaskan lidahnya yang melecur sambil terbatuk-batuk. Wajahnya sudah memerah.
            “Mak niiii…. .” Harnina memandang emaknya yang tertawa melihat dia sebegitu. Sudahlah lidahnya melecur, melihat emaknya yang tertawa sebegitu menambahkan lagi rasa sakitnya.
            “Yang kamu teguk air panas-panas tu kenapa?.” Tawa Mak Jah masih bersisa. Tidak dapat dia bayangkan kejadian yang berlaku dengan begitu pantas tadi. Tujuannya hanya mahu mengusik sahaja. Lain pula jadinya.
            “Jah… Nina… kenapa ni?.” Pak Manan yang baru sahaja masuk ke dalam rumah meletakkan topi koboinya di atas meja. Dari luar tadi dia sudah mendengar tawa isterinya. Walaupun tidak kuat namun masih jelas di telinganya.
            “Ayahhhh….. Mak ni… .” Adu si anak. Pandangan Pak Manan jatuh pada wajah isterinya pula meminta penjelasan. Mak Jah menahan tawa namun masih bersisa.