..... L. I. M. A. B. E. L. A. S.....
Pagi-pagi minggu Harnina
sudah mendengar suara riuh di halaman rumahnya. Pasti emak dan ayahnya sedang
rancak berbual di luar. Dia menguak sedikit jendela dari biliknya. Matahari
sudah meninggi. Matanya terpejam celik menahan silau dari sinaran sang mentari.
Dia membesarkan sedikit matanya mencari-cari arah datangnya suara itu. Ternyata
bukan suara emak dan ayahnya. Tapi suara emak dan…. seseorang yang sudah lama
tidak ditemuinya. Tapi siapa ya?. Otaknya ligat berfikir mencari titik noktah
empunya suara.
‘Biarlah…pedulikan saja’, bisik kata hatinya. Dia terus
duduk di birai katil. Terkebil-kebil matanya memandang jam di dinding. Baru
pukul 8.30 pagi. Selepas subuh tadi dia terus tertidur semula memandangkan dia
langsung tiada aktiviti yang perlu dilakukannya hari ini. Sesekali cuping
telinganya dapat menangkap perbualan emaknya yang sekali sekala menyebut-nyebut
namanya. Dia kembali semula ke jendela. Anak matanya menyorot pada sang tetamu
emak yang sedang berbual-bual kosong dengan emak yang sedang elok duduk di
atas pangkin. Orangnya yang sedikit
gempal dan berkulit cerah sedang memegang bakul yang penuh dengan sayur-sayuran
dan barang-barang keperluan dapur di dalamnya. Seingatnya tidak ada pula antara
jiran-jirannya yang sedemikian. Siapa pula ya?. Sekali lagi hatinya dipagut
dengan persoalan yang tiada jawapan.
Dia terus mengemaskan bilik tidurnya. Setelah
membersihkan dirinya dengan ala kadar, dengan pakaian tidur dia terus menuju ke
muka pintu.
“Hah… inilah Harnina”, ujar emaknya memperkenalkan
dirinya kepada si tetamu. Harnina hanya tersenyum.
“Lawa anak kamu sekarang ni Jah.” Harnina turun dan terus
bersalaman dengan si tetamu. Tetamu emak yang di tangannya sarat dengan
barangan dapur terus memuji-muji Harnina.
“Kamu ni pun Yah. Tengoklah siapa pula emaknya.” Mak Jah
sudah tersenyum simpul sambil menegakkan badannya.
“Dah lama Mak Yah tak jumpa kamu ni Nina.”
“Ni Mak Yah popia ke?.” Perlahan-lahan dia bertanya.
“Eh kamu ni Nina. Itulah… jarang balik kampung. Sampaikan
Mak Yah pun kamu dah tak kenal,” sambung emaknya. Harnina menelan liur. Dalam
hatinya menyesal dia turun bertemu dengan tetamu yang tak di undang emak.
Setahunya Mak Yah serta keluarganya telah lama meninggalkan kampung dan tinggal
di Kuala Lumpur. Kenapa pula tiba-tiba boleh ada di kampung pula? Tapi, sejak
bila?.
Suara emak dan Mak Yah kembali menerjah cuping
telinganya. Dia yang terdiam tadi langsung tidak diperdulikan. Kemudian
perlahan-lahan dia meminta diri untuk naik ke atas. Dalam fikirannya pelbagai
persoalan yang ada.
“Mak... .” Begitu perlahan suara Harnina yang sudah duduk
di meja makan. Nasi goreng yang diceduk tadi terasa pahit di tekaknya.
“Hah. Ada apa Nina?.” Soal Mak Jah seraya menoleh kepada
Harnina yang duduk di sudut meja.
“Sejak bila pulak Mak Yah tu balik kampung semula?.”
Semalam semasa dia balik dia langsung tidak perasankan rumah banglo tersebut.
Setahunya rumah itu memang telah lama kosong dan hanya Pak Mat dan Hajah
Faridah sahaja yang di amanahkan untuk menjaganya.
“Dah nak dekat sebulan dah dia balik.”
“Sebulan?.”
“Iyalah, sebulan. Kamu tu yang dah sebulan lebih tak
pernah balik kampung ni.” Kata-kata emak seakan memerli sahaja lagaknya.
Sebelum ini dialah yang paling rajin balik ke kampung setiap bulan. Tetapi
sejak akhir-akhir ini dia jarang sekali balik kerana terpaksa menghadiri kelas
pada hujung minggu.
“Nina ada kelas la mak… .” Dia malas mahu bercakap
panjang lebar lagi pada emaknya. Pandangan mata emak seolah-olah ingin
menyuarakan sesuatu tetapi maksudnya tidak kesampaian.
“Kenapa mak?.” Harnina segera bertanya bila emaknya
memandang sedari tadi.
“Tak ada apa.” Cepat-cepat tangan emaknya menceduk nasi
goreng ke dalam pinggan.
Telefon bimbit Harnina di
ruang tamu berbunyi. Dia sengaja membiarkan. Pandangan Mak Jah beralih
memandang anaknya. Kemudian lehernya panjang menjenguk ke ruang tengah.
“Nina, telefon kamu tu.”
“Biarkanlah mak. Nina tengah makan ni. Nanti pandailah
telefon tu berhenti berbunyi,” jawabnya acuh tak acuh. Tetapi emaknya pula
berasa rimas bila telefon itu berbunyi kembali. Mak Jah berdiri dan mengambil
telefon tersebut. Dia menyuakan kepada Harnina.
“Kan dah mati ni mak.” Telefon diletakkan di atas meja.
“Rimaslah mak bunyi banyak kali. Cuba jawab. Manalah tahu
hal penting.”
Harnina melihat nama si pemanggil. Pastinya Adli, desis
hati kecilnya. dia menyentuh skrin telefon. ‘Rizqi?’ hampir tidak percaya pula
dia bila melihat nama itu yang tertera. Jika tadi dia merasakan panggilan yang
berulangkali itu adalah dari Adli tetapi kini sudah berubah. Dia jadi risau
pula. Pastinya Rizqi akan memarahinya jika tidak menjawab panggilan. ‘Ah, biarlah.
Lagipun hari minggu. Bukannya hari kerja pun,’ omelnya dalam hati lagi.
“Hah. Tu muka tu macamtu kenapa? Betul tak mak kata,
panggilan penting tadi. Kalau tidak takkanlah berbunyi berulang kali.” Tekaan
emaknya benar-benar belaka. Tapi, kenapa pula Rizqi mencarinya pagi-pagi
begini?
“Tak lah mak. Cuma Nina pelik sikit.”
“Pelik???.” Giliran emaknya pula mengerutkan dahi sambil
menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Hinggakan senget serkup yang di pakai.
Harnina hanya mengangguk sambil tersenyum memandang emaknya. Gelihati pula dia
melihat emaknya dengan serkup yang sudah senget di kepala.
“Kenapa?.” Mak Jah bagaikan tahu pula tentang serkupnya
yang sudah sedikit senget. Dia membetulkannya sedikit sebelum meneruskan suapan
nasi gorengnya.
Pinggan yang sudah kosong di tolak sedikit ke tengah. Air
teh panas yang dituang ditarik berhampiran. “Bos Nina ni pagi-pagi telefon.
Entah apa yang dia nak ntah.”
“Dia nak kamu agaknya,” Mak Jah berseloroh membuatkan
Harnina terus meneguk air yang panas tanpa sempat berfikir panjang. Semuanya
berlaku di luar jangkaan. Cepat-cepat dia mengipas-ngipaskan lidahnya yang
melecur sambil terbatuk-batuk. Wajahnya sudah memerah.
“Mak niiii…. .” Harnina memandang emaknya yang tertawa
melihat dia sebegitu. Sudahlah lidahnya melecur, melihat emaknya yang tertawa
sebegitu menambahkan lagi rasa sakitnya.
“Yang kamu teguk air panas-panas tu kenapa?.” Tawa Mak
Jah masih bersisa. Tidak dapat dia bayangkan kejadian yang berlaku dengan
begitu pantas tadi. Tujuannya hanya mahu mengusik sahaja. Lain pula jadinya.
“Jah… Nina… kenapa ni?.” Pak Manan yang baru sahaja masuk
ke dalam rumah meletakkan topi koboinya di atas meja. Dari luar tadi dia sudah
mendengar tawa isterinya. Walaupun tidak kuat namun masih jelas di telinganya.
“Ayahhhh….. Mak ni… .” Adu si anak. Pandangan Pak Manan
jatuh pada wajah isterinya pula meminta penjelasan. Mak Jah menahan tawa namun
masih bersisa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan