…..
T. I. G. A. B. E. L. A. S…..
Lagu sahabat nyanyian Najwa Latif berlagu riang. Harnina
cepat-cepat mengambil telefon bimbitnya. Nama Adli tertera di skrin. Dia
mendengus kecil sebelum mematikan talian. Konstrentasi terhadap kerjanya
terganggu. Tidak sampai seminit kemudian telefon berbunyi lagi. Sekali lagi dimatikannya. Dia tidak berniat
mahu menjawab sebarang panggilan daripada Adli. Sejak peristiwa tempohari dia
sudah menghadkan ruang komunikasi antara dia dan Adli. Baginya itu adalah titik
noktah hubungannya dengan Adli. Kejutan yang hendak dibuat terhadap Adli
memberikan kesan yang teramat besar seumur hidupnya. Tanpa diduga dia pula yang
menerima kejutan dari Adli. Kejutan itu benar-benar mengubah pendiriannya.
“Nina… Bila awak sampai?”. Riak wajah Adli sudah berubah.
Adli menjarakkan sedikit tubuhnya dari gadis yang bersama dengannya sebentar
tadi. Dia yang tadinya kelihatan romantis dan mesra tiba-tiba sahaja berubah
menjadu kaku.
“Bie…kenapa
ni?.” Gadis yang setia menanti tadi merapati Adli kembali. Tangannya melingkari
pergelangan tangan Adli. Jelas…amat jelas di hadapan Harnina. Adli langsung
tidak menepis dalam ertikata lain, Adli hanya merelakan tindakan gadis itu.
“Errr…Nina kan?. Harnina?”. Gadis itu sedikit terjerit
bila sahaja melihatkan Harnina yang tercegat di situ. Senyuman menghiasi
bibirnya. Harnina hanya mampu memandang.
“Bie… you tak
cakap pun Nina nak datang”. Gadis itu kelihatan manja di sisi Adli. Mata Adli
tidak lepas dari memandang Harnina. Pandangan matanya menusuk terus ke anak
mata Harnina. Hati Harnina bertambah sakit dengan panahan mata itu. Dia rasa
tertipu.
“Nina…ni Amira….” Suaranya bagaikan tersekat di
kerongkong. Adli tersepit dalam situasi itu. Wajahnya yang berubah sedari tadi
terus menjadi merah. Dia langsung tidak menduga dengan apa yang terjadi.
Kedatangan Harnina benar-benar mengejutkan. Bagi Harnina pula, kehadiran Amira
bersama Adli amat memeranjatkannya.
“Nice to meet you.”
Harnina menghulurkan tangan. Air matanya ditahan seboleh mungkin. Gadis yang baru
diperkenalkan oleh Adli memang dikenalinya. Amira tersenyum seakan mengejek di
sisi Adli. Rambutnya yang panjang di elus-elus berulang kali. Menambahkan rasa
meluat pada Harnina.
“Harnina, you ada kerja dekat sini ke?”, soal Amira.
“Err.. ya. I ada kerja dekat sini tadi,” Harnina cuba
berdalih. Adli terus bungkam tanpa kata. Hanya mampu menjadi pemerhati.
“Err… I minta diri dululah ya. Tugas I dah selesai
rasanya.” Dia tidak mahu terus bersandiwara
di situ. Pandangannya kian kabur dek air mata. Harnina terus berlari
tanpa mahu menoleh ke belakang lagi.
“Nina! Nanti!...” Jeritan Adli langsung tidak dihiraukan.
Dia terus meluru menuju ke kereta Humaira. Hatinya benar-benar rawan. Dia terus
pergi meninggalkan Adli tanpa berpaling lagi.
Pintu kereta dihempas. Pandangannya terus kabur. Dia
menghamburkan air matanya ketika itu juga di hadapan Humaira.
“Nina…kenapa?. Kenapa?”. Humaira agak panik.
“Jalan Mai…Aku kata jalan!!”.
Humaira sempat memandang
cermin sisi kereta. Adli sedang berlari-lari anak sambil memanggil nama
Harnina. Humaira jadi bertambah panik. Tidak tahu hujung pangkal tetapi
terjebak dengan situasi ini. Humaira terus menurunkan brek dan menggerakkan
keretanya keluar dari parkir seperti yang di arahkan oleh Harnina.
Lagu nyanyian Najwa Latif
kembali mengisi ruang sekitar Harnina disulami gegaran kecil. Serta merta
rentetan peristiwa sedih yang dibawanya tadi hilang begitu sahaja. Dia
membiarkan sahaja sehingga nada itu tamat dengan sendirinya. Dia langsung tidak
berminat memandang apatah lagi menjawab panggilan.
Pandangannya jadi kosong. Email yang dihantar bertalu-talu
oleh Rizqi langsung tidak diendahkannya. Perasaannya jadi tak tentu setiap kali
mengingatkan peristiwa itu. Telefon di sudut meja pula berdering minta di
angkat. Dia membiarkan sahaja. Dia tidak mahu emosinya menguasai diri.
“Nina…”. Satu suara menyebut namanya dengan jelas.
Perlahan-lahan dia mengangkat muka.
“Errr…Encik Rizqi.. Maaf..” Cepat-cepat dia mengesat air
mata yang masih bersisa. Dia membetulkan duduknya.
“Awak ada masalah ke?”. Rizqi yang disangkanya adalah
Rifqi sebenarnya. Dia tidak mengetahui bahawa bosnya mempunyai kembar seiras.
“Eh, tak adalah Encik Rizqi. Saya okey.”
“Mata awak tak boleh menipu.” Jari telunjuknya ditunding
sedikit pada mata Harnina. Celak yang dipakai di bawah mata sudah luntur dan
meninggalkan kesan hitam bila terkena air. “Tuu..”.
Cepat-cepat Harnina mencari
tisu lantas mengesatnya. Dia tahu, wajahnya akan kelihatan buruk bila dalam
keadaan sedemikian. Dia tidak mahu memandang Rifqi lagi.
“Nina…dah pukul satu ni awak tak mahu…..” Kata-kata Zain
terhenti di situ. Dia yang tadinya baru keluar dari biliknya berhasrat mahu
mengajak Harnina keluar makan. Dia tidak jadi meneruskan ayatnya bila sahaja
dia terpandangkan Rifqi sudah duduk di hadapan Harnina.
“Eh…Ri…bila sampai?”. Bahu Rifqi ditepuk lembut. Rifqi
berpaling sambil tersenyum.
“Baru je. Kau nak keluar makan ke Zain?,” dengan pantas
Rifqi dapat menangkap maksud sahabatnya tadi. Zain hanya tersenyum. Mereka
berjabat tangan.
“Eh, Nina jom kita makan sekali. Tanti tak ada harini
kan,” ujar Zain sambil melipat lengan baju kemejanya.
“Errr…tak apalah Encik Zain. Saya tak lapar.” Dia
meraba-raba papan kekunci yang ada di hadapannya. Jari-jemarinya menari-nari di
situ.
“Tak payah nak tunjuk rajinlah… .” Sekali lagi Zain
memprovoke. Rifqi hanya tersenyum. Dalam hatinya terasa sedikit cemburu dengan
Zain.
Harnina memasukkan kesemua barang penting ke dalam laci.
Dia malas mahu berlama di situ. “Saya nak ke suraulah Encik Zain”.
“Nina, kita makanlah sama-sama”, Rifqi pula bersuara.
Harnina memandang kedua insan yang berada di hadapannya. Kedua-duanya seolah
mengharap. Masing-masing bersungguh-sungguh mengajak. Akhirnya, Harnina terpaksa
akur mengikut mereka.
SEBAIK sahaja keluar dari
restoran, hujan membasahi bumi Melaka. Mujur mereka bertiga keluar makan tidak
jauh dari bangunan pejabat. Harnina banyak mendiamkan diri ketika makan. Dia
tidak tahu topik apakah yang harus dibualkan di antara dua orang bos tersebut.
“Hujan ni. Agak lebat juga.” Zain menadah telapak
tangannya. Titis-titis hujan membasahi telapak tangannya. Dia mendongak melihat
langit yang tadinya cerah tiba-tiba sahaja hujan.
“Ri, aku ambil kereta kau dan Nina tunggu di sini”, arah
Zain. Dia menekup kepalanya sambil berlari-lari anak di dalam hujan menuju ke
kawasan parkir kereta. Zain hilang dari pandangan mereka berdua.
Rifqi melipat sedikit lengan kemejanya hingga menampakkan
jam tangan yang dipakainya. Perbuatannya diperhatikan oleh Harnina dalam diam.
Setahunya Encik Rizqi tidak pernah memakai jam tangan. Tetapi mengapa
kehadirannya sekali sekala menjadikan jiwa Harnina jadi tidak tenteram?.
“Encik Rizqi, sayang kalau basah jam tu,” ujar Harnina.
Lelaki itu hanya tersenyum
sumbing. Dia menjeling sedikit ke arah Harnina. Kerlingan itu amat bermakna
buatnya.
“Awak ni… sayang pada jam atau sayang pada saya?.”
Hah? Harnina terkedu. Jujur,
dia maksudkan jam di tangan lelaki itu, bukannya lelaki itu. Dia sudah jadi tak
keruan. Rasanya degupan jantungnya berdenyut lebih pantas dari tadi.
Kereta Zain berhenti betul-betul di hadapan mereka.
“Jom”. Rifqi memegang pergelangan tangan Harnina. Dia menyelimutkan jaketnya
pada Harnina. Harnina jadi tergamam seketika. Mereka berjalan berdua menuju ke
kereta hanya dengan berkongsikan sehelai jaket di dalam hujan. Keadaan mereka
begitu rapat sekali. Harnina memboloskan dirinya masuk ke dalam kereta. Terasa
malu pula dia dengan situasi itu. Namun, di dalam hatinya terselit sedikit rasa
bahagia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan