.....E.
M. P. A. T. B. E. L. A. S…..
Awal-awal pagi lagi Harnina sudah sampai di pejabat. Dia
sudah merencanakan beberapa tugasan yang perlu dilakukan olehnya. Sewaktu naik
ke pejabat tadi dia bertembung dengan Rina. Seperti biasa, dia akan tersenyum
kepada Rina walaupun mood Rina selalunya berubah-ubah. Namun, ada sesuatu yang
mengusik fikirannya dengan soalan dari Rina.
“Nina, semalam makan kat mana?.”
“Semalam?.” Dia yang agak
terkejut dengan soalan tersebut hanya buat muka biasa-biasa sahaja.
“Ya, semalam lah. Kan Tanti tak kerja semalam.” Rina
mengingatkan.
“Owh… keluar dengan Encik Zain dan Encik Rizqi. Kenapa?”,
jawab Harnina jujur.
“Hah?! Betul ke?.” Wajah Rina sedikit bercahaya bila nama
Rizqi disebut. Nampak benar dia teruja.
“Iya…”
“Eh, lain kali kalau Rizqi ajak pergi makan jangan lupa
ajak aku sekali tau.” Rina tersenyum. Dia mencari-cari kunci pejabat di dalam
beg tangannya. “Errr…Rina. Itu pun
semalam secara kebetulan saja. Bukannya aku nak ikut pun.” Nina menjelaskan.
Dia tidak mahu Rina beranggapan bukan-bukan pula. Kemudian masing-masing masuk
ke dalam pejabat. Nina duduk berteleku di atas kerusinya. Merenung komputer
yang berada di hadapannya.
Telefon bimbitnya berbunyi. Cepat-cepat dia mencarinya
lantas melihat nama yang tertera. Nama Adli yang keluar di skrin. Kemudian dia
hanya membiarkan sehingga deringan itu mati begitu sahaja.
“Nak…”. Mak Limah cleaner di pejabat itu menegur. Dia
merapati meja Harnina. Sedikit tersentak Harnina kerana sedari tadi dia menyangkakan
dialah yang paling awal masuk ke pejabat itu.
“Ya Mak Limah.” Dia berkalih sedikit.
“Telefon tu berbunyi. Tak jawab pun.” Harnina hanya
tersenyum.
“Tak penting pun.” Tak sampai beberapa saat kemudian
telefon berbunyi lagi. Mak Limah menjengah sedikit telefon Harnina sambil dia
mengelap meja tempat Harnina.
“Kalau tak penting takkanlah bunyi lagi tu.” Harnina
tidak menjawab. Dia membiarkan sahaja Mak Limah serta deringan telefon. Mak
Limah hanya menggelengkan kepala sebelum beralih ke meja Tanti pula. Mungkin
sedikit terasa bila soalan dan arahannya langsung tidak dibalas. Kemudian dia
menghilang membuat tugasannya di segenap ceruk pejabat itu.
“Morninggggg……” Wajah Tanti penuh ceria masuk ke dalam
pejabat. Ingatkan Mat Salleh manalah tadi.
“Kau ni Tanti. Morning..morning…cubalah bagi salam.”
“Yelah… Assalamualaikum…”. Tanti sudah meletakkan beg
tangannya. Di bibirnya penuh dengan senyuman. Harnina sudah menjawab salam Tanti.
“Awal kau datang Nina,” ujarnya.
“Taklah awal sangat. Biasa aje.” Dia menjeling jam di
sudut komputernya. Baru mencecah jam 8 pagi.
“Kau ni Nina, cubalah beli jam. Senang sikit kau nak
tengok waktu.” Tanti begitu prihatin terhadapnya hinggakan jam di tangan yang
tiada pun menjadi perhatiannya.
“Aku tak boleh pakai jamlah. Kulit aku ni allergi.”
“Sama macam Encik Rizqilah kau ni.”
Apa maksud Tanti? Apa yang
sama antara dirinya dengan Encik Rizqi? Kenyataan Tanti benar-benar membuatkan
Harnina tertanya-tanya. Namun di biarkan sahaja soalan itu bermaian-main di
dalam mindanya.
Tanti menjuihkan sedikit mulutnya membuatkan Harnina
mengalihkan pandangan. Encik Rizqi ni pantang di sebut namanya, sekejap sahaja
sudah muncul. Bagaikan diseru-seru pula. Sudahlah tu, masuk sahaja ofis tanpa
menoleh kiri dan kanan terus sahaja meluru masuk ke dalam biliknya dengan muka
tak pernah tersenyum langsung.
“Hei Nina…” suara Tanti kembali menggamit Harnina
memandang ke arahnya.
“Apa?.”
“Kau tunggu sekejap ya. Tentu telefon tempat kau tu
berdering sekejap lagi,” ujar Tanti dengan senyum simpulnya. Harnina hanya
jungkit bahu. Sejak dari tadi fikirannya jauh menerawang entah kemana. Sejak
dari dia masuk tadi komputer di hadapannya hanya dibiarkan terbuka begitu
sahaja tanpa dia berbuat apa-apa.
‘Trutttt…truttt….trutttt…’ telefon di meja Harnina
berbunyi. Serta merta Harnina menoleh ke arah Tanti. Memang benar apa yang
Tanti jangkakan.
“Hello…Zain dan Rizqi & Co. Boleh saya bantu.” Ayat
biasa yang dituturkan Harnina setiap kali menjawab panggilan.
“Nina, jumpa saya sekejap.” Suara garau Rizqi
berkumandang di talian. Talian diletakkan.
“Nina.. betul tak aku cakap”. Tanti sudah tersenyum.
Sangkaannya tepat. Harnina bangun dan mula melangkah ke bilik Rizqi seperti
arahan.
“Nina…sehari dia tak jumpa kau dia boleh jadi meroyan
tau”, usik Tanti lagi. Harnina menjegilkan matanya membuatkan Tanti terkekeh-kekeh
tertawa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan