…..S.
E. M. B. I. L. A. N. B. E. L. A. S…..
“Harnina!.” Suara garau Rizqi jelas kedengaran di muka
pintu. Pejabat yang menempatkan empat orang staf termasuk dirinya itu terasa
gegarannya sekali lagi. Harnina yang sedang leka membelek sebuah fail
tersentak. Begitu juga dengan Tanti. Serasanya kalau komputer serta seluruh isi
ruang itu bernyawa pasti semuanya akan terkejut sama. Tiada satu pun yang
terkecuali.
“Jumpa saya sekejap!.” Suara itu merupakan satu arahan
yang cukup jelas. Kebiasaannya suara itu hanya bergema di dalam talian setiap
pagi. Tetapi berlainan sungguh keadaannya hari ini.
‘Dummm!!!!.’ Bunyi pintu yang dihempas kuat menggetarkan
Harnina dan Tanti. Masing-masing menoleh dan Harnina serta merta menjungkitkan
bahu bila Tanti memberikan isyarat. Nampaknya Rizqi seperti harimau yang sedang
kelaparan sahaja.
Harnina menarik nafas dalam-dalam. Rizqi berpaling
memandang keluar jendela. Renungannya nampak serius. Namun tidak pula Harnina
tahu sejauh mana tahap keseriusannya itu.
“Encik Rizqi… .” Harnina memulakan bicara sebaik sahaja
kakinya melangkah ke dalam bilik tersebut. Dia sudah bersedia dengan apa sahaja
yang akan terjadi.
Rizqi menoleh. Di tangannya menggenggam sehelai kertas.
Harnina sudah dapat meneka apa yang berada pada fikiran majikannya. Sekali lagi
dia menarik nafasnya dalam-dalam.
“Apa ni?.” Surat tersebut di lontarkan ke atas meja.
Lantas Rizqi bercekak pinggang menghadap Harnina. Hanya bebola matanya sahaja
yang meratah wajah Harnina dengan pelbagai perasaan.
Dengan wajah tenang dan beriak biasa Harnina memandang
Rizqi. Dia tidak tahu mengapa Rizqi menjadi sedemikian sebenarnya sehinggalah
surat itu dicampak oleh Rizqi sebentar tadi. “Surat saya untuk meletak jawatan.
Kenapa ya Encik Rizqi? Ada masalah?.” Rizqi terus memandang Harnina dengan
pandangan sinis. Entah apa yang berada dalam fikirannya.
“Awak tanya saya ada masalah ke tidak? Awak tahu tak yang
awak ni dah menyusahkan saya?.” Tajam sungguh pandangan mata Rizqi terhadap
Harnina. Jelingannya bertambah tajam bila sahaja dia melihatkan wajah Harnina
yang beriak selamba. Kedua belah tangannya dimasukkan ke dalam kocek seluar.
Pada zaman sekarang ini terlalu sukar untuk dia mendapatkan pekerja, Harnina
pula mahu berhenti.
“Kenapa?.”
“Boleh tak kalau awak tak menyusahkan saya lagi Harnina?.
Awak ingat senang nak cari pekerja sekarang ni?.” Dia terus memuntahkan apa
yang ada dalam kotak fikirannya.
“Kalau awak nak berhenti kerja, saya takkan bayar gaji
awak untuk bulan ini. Faham?!!!.”
“Saya tak kisahlah encik. Yang saya tahu saya nak
berhenti kerja ikut tarikh yang saya beri dalam surat tu.” Rizqi semakin
menyinga mendengar jawapan Harnina. Dia rasa kian tercabar. Keputusan Harnina
untuk meletakkan jawatan benar-benar menggusarkan hati sebenarnya.
“Awak ni memang sengaja menyusahkan saya kan!!!. Sudahlah
kerja banyak, awak pula nak buat hal.” Sekali lagi suaranya melengking kuat.
“Encik Rizqi, sebab tak mahu menyusahkan encik lagilah
saya hantar surat ni untuk memuaskan hati encik.” Dengan penuh hati-hati ayat
itu disusun oleh Harnina. Dia sudah memikirkannya masak-masak tentang
perletakan jawatan tersebut. Giliran Rizqi terkesima. Wajahnya yang tegang tadi
menjadi sedikit kendur dengan kata-kata Harnina. Dia terpaku. Dirinya dihujani
dengan 1001 soalan. Pandangan matanya menjadi sedikit redup. Dia tidak tahu
mengapa dia menjadi sebegitu lantas tertunduk. Dia merenung biasan wajahnya di
meja. Dari biasan kaca itu dia dapat melihat wajah seorang lelaki yang hampir
kalah dengan permainan yang sedang dilakukan olehnya tetapi masih dengan
egonya.
“Okey… tak mengapa….” Rizqi jungkit bahu. Dia cuba
menahan rasa amarahnya dalam diam. Suaranya menjadi sedikit mendatar berbanding
tadi. Dia langsung tidak menyangka Harnina yang tidak banyak karenah itu
menjadi pandai untuk menjawab pula hari itu. Sudah habiskah kata-katanya?. Dia
mengangkat wajahnya namun tidak mampu untuk merenung wajah Harnina. Kepalanya
diangguk-anggukkan beberapa kali. Wajahnya merah menahan amarah. Berdetap detup
bunyi jari jemari digenggamnya. Dalam benaknya masih lagi memikirkan sesuatu
namun tidak mampu untuk diungkapkan dengan kata-kata.
“Encik…kalau dah tak ada apa-apa lagi saya minta diri
keluar dulu.” Harnina meminta izin untuk keluar walaupun dia nampak Rizqi
seperti mahu bercakap lagi. Dia malas mahu melayan majikannya. Tadi marah yang
meluap-luap. Sekarang diam pula. Jembalang bisu agaknya yang dah merasuk
dirinya, desisnya dalam hati. Lantas dia terus menghayun langkah untuk keluar
dari situ sesegera mungkin.
RIZQI meraup wajahnya dengan
penuh sesalan. Apalah yang hendak dikatakan olehnya lagi. Itulah padahnya.
Sesalannya sudah tidak berguna lagi. Beberapa kali sudah rambutnya di gosok
hingga menjadi sedikit berserabut. Sama serabutnya juga dengan fikirannya saat
itu. Seketika dia memandang surat yang masih berada di atas meja. Apa motif
Harnina sebenarnya?. Surat perletakan jawatan yang diterimanya adalah notis
empatbelas hari.
Rizqi terasa menyesal dengan surat yang diterimanya pagi
ini. Ianya sungguh memeranjatkan. Sesuatu yang memang diluar jangkaan. Setelah
dia membukanya pagi tadi, serta merta dia teringat kata-kata Zain terhadapnya
suatu masa dahulu.
“Kau jangan bebankan
dia dengan kerja-kerja Mariam sangat Qi. Aku takut esok-esok dia hantar surat
berhenti kerja pula. Antara staf-staf yang kita ada, aku lebih percayakan dia
berbanding yang lain”.
Ayat itu berulangkali bermain di kotak fikiran Rizqi.
Akukah yang bersalah? Sekali lagi dia menyoal dirinya. Ego membatasi segalanya.
Dia tidak mahu mengaku. Namun, satu bisikan halus pula seakan berkumadang di
cuping telinganya, ‘sebab engkaulah budak tu nak berhenti kerja.’ Rizqi sudah
tidak keruan. Namun seketika kemudian satu lagi kata-kata yang berkumadang.
‘Banyak lagi orang yang nak kerja jauh lebih baik dari dia. Biarkan ajelah dia
tu.’
Perasaannya berbolak balik. Hati kecilnya sudah tidak
keruan. Sekali lagi surat itu dibaca dan ditiliknya. Berulang kali di baca dan
ianya masih sama. Tidak ada kurang dan juga lebih. Bunyi ketukan pintu dari
luar mematikan segala-galanya.
“Qi… .” Tersembul wajah kembarnya dengan senyuman yang
melebar. Di tangannya tergenggam kemas satu bungkusan plastik. Entah apa yang
ada di dalamnya Rizqi tidak pasti.
“Hah!. Apa kes kau datang ni? Meeting tu kan ditunda dua hari lagi,” Rizqi mengingatkan. Adli
memaklumkan dengannya petang semalam.
“Aku tau lah kau ni lawyer.
Kalau tak ada kes aku tak boleh datang jenguk kau ke Qi?.” Bungkusan plastik di
tangan di hulur. Serta merta disambut oleh Rizqi. Tanpa berlengah Rizqi membuka
bungkusan tersebut. Sambal tumis udang dengan petai yang berada di dalam bekas.
Baunya benar-benar menggugat Rizqi. Pasti emaknya yang empunya suruhan.
“Mama pesan suruh bawakkan untuk kau. Mama kata takut kau
balik lewat.” Rizqi tersenyum mendengarnya. Dia tahu mama memang prihatin
dengan dirinya walaupun kadangkala menyakitkan hatinya.
“Qi, lagi satu mama pesan. Hujung minggu ni mama dengan
papa nak buat jamuan makan. Kau jangan tak ada pulak kata mama.” Rizqi
mengerutkan dahinya. Sesuatu yang luar dari kebiasaannya.
“Jamuan? Untuk apa?.”
“Manalah aku tau. Mama pesan macamtu tadi.” Rifqi
memandang saudara kembarnya. Sewaktu dia masuk tadi dia nampak Rizqi sedang
termenung. Rambutnya kelihatan tidak terurus. Namun mulutnya berat untuk
bertanya mengapa dia berkeadaan sebegitu.
“Kau tak ada kes di mahkamah ke harini Qi?.” Rizqi hanya
menggeleng. Dia meletakkan bungkusan di sudut meja sebelum membuka kembali
laptop di hadapannya.
“Kau tu tanya aku, yang kau pulak tak kerja ke harini
Ri?.”
“Aku ni biasalah Qi. Macam kau tak tau. Sama aje kerja
dengan tidak.” Rifqi masih memandang saudaranya. Dia terasa bagaikan ada
sesuatu yang tidak kena dengan kembarnya. Dengan wajah yang tak terurus, rambut
berserabut, wajah tegang.
“Hurmmmm…. Ri. Aku nak mintak tolong kau sikit boleh
tak?.” Pandangan mata mereka bertembung. Hujung jari Rizqi mengetuk-ngetuk
meja. Rifqi mengangkat sedikit kening sebagai isyarat.
“Aku nak cari pekerja lah.”
“Kenapa?. Mariam tu dah comfirm berhenti kerja ke?.” Tempohari ada juga Rizqi meluahkan
rasa risaunya dengan Mariam yang belum pasti dengan statusnya.
“Tak la. Cuma aku nak cari back-up aje. Lagipun kerja dah semakin bertambah, tapi pekerja aku cuma ada dua
orang aje sekarang ni. Kalau ikutkan, syarikat ni dah boleh tambah pekerja dah.
Mariam pulak tak tau apa ceritanya.” Rizqi cuba berdalih. Di kepalanya ada satu
persoalan besar yang sedang berlegar-legar. Fikirannya agak bercelaru sejak
menerima surat perletakan jawatan dari Harnina pagi ini sebenarnya.
“Kau iklankanlah. Mesti ramai yang datang untuk
interview.” Rifqi mengerling sedikit surat yang terletak di atas meja.
Jari-jemarinya menguis-nguis sedikit surat yang bertindih dengan beberapa helai
kertas lain tanpa disedari Rizqi. Dia cuba untuk membaca isi kandungan surat
yang sejak dari tadi ada di situ.
“Aku nak iklankan. Tapi sebelum tu aku nak tanya
kalau-kalau ada kawan kau yang nak kerja.” Rizqi mencari-cari sikat di dalam
laci mejanya. Dia baru teringat untuk menyisir rambutnya yang tidak terurus.
Terkekeh-kekeh Rifqi tertawa melihat Rizqi menyikat rambutnya. Biasanya Rizqi
tidak begitu tetapi amat berlainan sekali hari ini.
“Kau ni dah kenapa Qi?. Nak kata gaduh dengan bini, jauh
sekali. Nak kata gaduh dengan girlfriend pun… tak ada lagi sampai sekarang.
Tapi aku tengok muka kau dengan penampilan kau ni macam tak layak dengan kerjaya
kau sekarang ni tau.” Rifqi sengaja mengusik Rizqi. Dia sedar, ada sesuatu yang
sedang dipendam oleh Rizqi sebenarnya setelah dia dapat membaca isi kandungan
surat yang dicuri-curi baca sebentar tadi. Pasti ada kaitan dengan perkara
tersebut, fikirnya. Almaklumlah… mereka kan kembar. Lagipun sewaktu dia mahu
masuk tadi dia nampak wajah Harnina yang kelat sahaja. Pasti ada sesuatu yang
telah terjadi.
“Ah…kau mana faham aku Ri.” Dia terus menyisir rambutnya
dan membiarkan sahaja Rifqi memandangnya. Yang pastinya, jiwanya resah bila
sahaja surat tersebut diterimanya. Apa yang patut aku buat?. Fikiran warasnya
masih belum mampu membuat sebarang keputusan. Terlajak perahu boleh di undur,
terlajak kata badan binasa.