Jumaat, 4 Ogos 2017

HELLO! JODOH... AWAK KAT MANA? - Bab 8

BAB 8

Aku dan Saida sudah sibuk berkemas. Rasanya masa hari aku datang, aku bawa satu beg dan Saida juga bawa satu beg. Tapi hari ini aku tengok beg Saida seakan sudah beranak pinak pula. 

"Kau pandang apa?" Kata-kata Saida meluncur laju.

"Tu haa... cepat betul beg kau membiak."

Saida tergelak.

"Maklumlah... dah ala-ala honeymoon kan.”

"Yelah. Yang honeymoon tu kau. Bukannya aku. Aku ni tetap menjeruk rasa."

"Ooo... patutlah. Muka kau pun selalu sangat aku nampak masam."

Terkekeh-kekeh Saida ketawa.

"Tapi kau ingat tau. Jangan beritahu apa-apa pasal Alif dengan ibu.”

Aku beri arahan pada Saida. Minah ni kadang-kadang perlu diingatkan berulang kali. Saida angkat sebelah tangannya separuh bahu. Macam orang sedang berikrar.

"Yes mem. Faham mem."

Sengaja dia mengusikku. Aku hanya membalas dengan isyarat kedua ibu jariku naik ke atas.

Pesawat yang membawa kami selamat mendarat di KLIA 2 tepat jam 2 petang. Keluar sahaja dari balai ketibaan, aku segera meminta Saida menunggu sementara aku mahu ke tandas. Aku menarik nafas lega sebaik sahaja selesai melepaskan hajat. Menuju ke sinki dan mencuci tangan sebersihnya.

“Eh… you lagi. Siapa nama you. I lupalah.”

Aku melirik pada seorang perempuan yang berbaju warna putih separas lutut menampakkan betisnya yang putih melepak. Dia baru sahaja masuk ke kawasan itu.
“Hai. Tak sangka jumpa lagi ya.” Aku senyum. Malas mahu mengulangi nama sendiri.

“Tak sangka kan flight kita sama tadi. I nampak you tadi. Tapi malas nak kacau you dengan kawan you.”

Nampak? Ivy nampak aku di mana? Kenapa dia tak mahu menegur aku pula?

“Oh… Maaf, sungguh saya tak perasan. Dalam flight ke?”

Melihat anggukkan Ivy, bermakna Alif juga ada bersama tadi. Memang aku bersyukur sangatlah Ivy tak menegur aku. Jika dia menegur aku sudah pasti Alif ada bersama dengannya. Aku minta izin untuk keluar. Tak mahu berlama di hadapan Ivy. Semakin aku pandang Ivy, semakin kuat pula aku teringatkan Alif. Ivy sempat menghulurkan sekeping kad untukku. Kad undangan perkahwinannya dengan Alif. Perlahan aku buka. Cantik. Kad berwarna putih dengan tulisan timbul berwarna keemasan. Tertera nama Alif dan Ivy Maisara.

“Jangan lupa datang ya. Next week majlis resepsi di rumah lelaki. I nak sangat you datang. Nak kenalkan you pada parents I.”

“Kenalkan pada parents you? Untuk apa?”
Sungguh aku tak faham dengan Ivy. Janganlah Ivy tahu siapa aku sebelum waktunya.

“Owh… Senang untuk dapatkan lesen dari parents I untuk keluar bila dia kenal you sebagai kawan I nanti,” ujarnya mesra.

Biar betul minah ni? Nak jadikan aku lesen untuk dia keluar? Bukankah dia sudah bersuami? Kan lebih elok dia keluar dengan suami sendiri.

“Opsss… sorry. Sebenarnya I dah lama duduk di oversea. Balik Malaysia pun sebab orang tua jodohkan dengan suami I sekarang ni. Jadi… bila I nak keluar tak ada kawan dan kena tunggu Alif. Alif pula selalu sibuk. Tapi… since I meet you, I rasa elok I kenalkan you pada mereka. Senanglah sikit kalau I nak keluar kalau dengan you.”

Aku dah terangguk-angguk tak ubah macam burung belatuk. Fahamlah aku sekarang. Memang sesuailah Ivy jadi isteri Alif. Semua benda ikut telunjuk Alif. Kemudian, tak kenal sesiapa. Kalaulah Ivy tahu siapa aku… Mungkinkah layanan Ivy sebaik ini terhadap aku?
Aku terus berlalu keluar setelah bersalaman semula dengan Ivy. Sebak rasa hati aku bila pandang Ivy. Sebak lagi sebenarnya perasaan aku terhadap Alif. Tidak sepatutnya aku membenci Alif kerana memutuskan hubungan kami untuk perempuan sebaik Ivy Maisara. Hati aku tiba-tiba jadi sebak. 

“Kau menangis?”

Terkejut aku bila Saida menegur sebegitu. Cepat-cepat air mata aku lap dengan hujung lengan baju. Aku cuba ukirkan senyum sebaik mungkin pada Saida.

“Kenapa ni Sya?”

Soalan Saida tidak habis lagi. Takkan aku nak jawab mata aku masuk habuk pulak kut. Kalau di rumah mungkin aku boleh cakap macamtu. Tapi ini di lapangan terbang. Memang tak logik langsung.

“Tak ada apa. Jomlah. Faez dah tunggu agaknya.”

Troli aku tolak mendahului Saida. Tak mahu dihujani lebih banyak soalan dari Saida lagi.

"Kau ingat tau Saida... kalau ibu tanya kau nanti, kau kena beritahu sepupu kau yang ambil kita. Jangan cakap Faez yang datang. Nanti ibu banyak soal pula.”
Aku malas mahu bersoal jawab dengan ibu tentang Faez. Lagipun aku tak pernah cerita tentang Faez yang sedang mabuk bercinta dengan Saida pada ibu.

"Errr... tapi ibu kau bukan tak kenal sepupu yang aku ada. Sepupu tang mana yang aku nak cipta ni Sya?"

Hal sebegini aku memang respek dengan Saida. Dia boleh hafal dan tahu apa yang ibu aku tahu. Lagipun, sepupu yang paling rapat yang Saida ada cuma Adi dan Yusri sahaja. Kedua-duanya ibu kenal. Memang sukar untuk mencipta alasan.
"Pandai-pandailah kau cipta. Yang penting ibu yakin dan percaya."

Melihatkan Saida yang masih ragu-ragu, terus aku mencelah.

"Kau buat sampai jadi. Kalau tak aku minta kau bayar separuh dari semua kos percutian pada kau."

Kecik besar sahaja pandangan Saida pada aku. Apa tidaknya, kata-kataku yang berbaur ugutan. Aku menolak troli penuh yang berisi dengan beg bersama Saida sambil berbual kosong. Macam-macam perancangan yang aku utarakan pada Saida. Entah bagaimana aku terlanggar seseorang. Pantas aku menoleh. Dia pandang aku dan aku pandang dia.

"Maaf," ujarku.
Memang salah aku pun. Berjalan sampai tak ingat dunia kot. Bergelak tawa dengan Saida. Lelaki tadi hanya senyum dan terus berlalu. Dia nampak tergesa-gesa.

"Huh! Handsomenya."

Baru aku perasan yang si Saida pandang lelaki tadi tanpa berkelip. Sampaikan bayang-bayang lelaki tadi hilang di celahan manusia yang sibuk dengan urusan masing-masing pun dia masih tidak berkelip.

"Saida... Faez.”

Langsung tiada respon.

"Saida! Faez tu..." 

Jari-jemari aku petik depan mata Saida. Aku goyangkan bahu pula. 

"Hah? Apa? Mana?”

Nampak kelam kabut.

"Tuuu..." Aku muncungkan mulut pada satu arah. Memang benar Faez sedang berjalan ke arah kami.

Saida berjalan mendahului aku bila sahaja nampak kekasih hati. Sempat lagi dia beri amaran kepadaku untuk tidak memberitahu Faez tentang keterlanjurannya sebentar tadi. Aku hanya balas dengan tawa kecil.

"Faez... kau hantar Saida ajelah. Aku nak balik rumah ibu teruslah.”

Kata-kataku buatkan mereka berdua berpandangan. Cakap tak serupa bikin. Awal-awal tadi aku sendiri minta Saida beritahu ibu yang sepupu Saida ambil. Tapi sekarang, aku sendiri ubah keputusan mahu pulang sendiri.

"Eh... tak apalah. Faez boleh hantar kau terus ke rumah ibu."

"Betul. Tak apa, bukan menyusahkan pun,” sambung Faez.

Beriya-iya mereka berdua mengajak. Tapi aku tetap dengan keputusan aku. Aku mahu pulang menaiki teksi sahaja. Akhirnya mereka berdua mengalah. Aku sengaja melepaskan mereka berdua bergerak pulang terlebih dahulu sebelum aku sendiri mencari teksi untuk pulang ke rumah ibu.

Aku menyandarkan badan bila sahaja masuk ke dalam perut kereta. Perlahan-laham kenderaan yang membawa aku bergerak keluar. Di satu sudut jelas aku nampak seorang perempuan. Ya... aku kenal perempuan itu. Ivy! Bersama dengan seseorang. Juga aku rasakan seolah-olah aku kenal. Keadaan mereka nampak tegang. Tapi kenapa?

Lama-kelamaan pandangan aku kian pudar. Kenderaan yang aku naiki semakin menjauh meninggalkan lapangan terbang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan