Jumaat, 4 Ogos 2017

HELLO! JODOH... AWAK KAT MANA? - Bab 8

BAB 8

Aku dan Saida sudah sibuk berkemas. Rasanya masa hari aku datang, aku bawa satu beg dan Saida juga bawa satu beg. Tapi hari ini aku tengok beg Saida seakan sudah beranak pinak pula. 

"Kau pandang apa?" Kata-kata Saida meluncur laju.

"Tu haa... cepat betul beg kau membiak."

Saida tergelak.

"Maklumlah... dah ala-ala honeymoon kan.”

"Yelah. Yang honeymoon tu kau. Bukannya aku. Aku ni tetap menjeruk rasa."

"Ooo... patutlah. Muka kau pun selalu sangat aku nampak masam."

Terkekeh-kekeh Saida ketawa.

"Tapi kau ingat tau. Jangan beritahu apa-apa pasal Alif dengan ibu.”

Aku beri arahan pada Saida. Minah ni kadang-kadang perlu diingatkan berulang kali. Saida angkat sebelah tangannya separuh bahu. Macam orang sedang berikrar.

"Yes mem. Faham mem."

Sengaja dia mengusikku. Aku hanya membalas dengan isyarat kedua ibu jariku naik ke atas.

Pesawat yang membawa kami selamat mendarat di KLIA 2 tepat jam 2 petang. Keluar sahaja dari balai ketibaan, aku segera meminta Saida menunggu sementara aku mahu ke tandas. Aku menarik nafas lega sebaik sahaja selesai melepaskan hajat. Menuju ke sinki dan mencuci tangan sebersihnya.

Selasa, 20 Jun 2017

WAADAT - Demi Cinta



DEMI CINTA
Oleh   : Sri Wahyuni

Kegelapan malam langsung tidak diendahkan oleh Hadi. Dia terus sahaja memecut  motosikal EX-5nya. Dia tidak mahu sesiapapun tahu ke mana dia pergi. Tujuannya hanya satu, untuk sampai ke rumah besar di kaki bukit itu dengan segera. Suara Fariha yang meminta tolong tadi seakan-akan berkumandang lagi di tepi telinganya.

‘Kenapa dengan Fariha?’ 

       Soalan itu mengasak mindanya sedari tadi langsung tidak mampu di jawab. Fokusnya hanya kepada suara Fariha. Dia tidak mahu terlewat sesaat pun. Nyawa Fariha dalam bahaya.

Pintu rumah usang itu ditendang beberapa kali. Mengerekot bunyinya. Bunyi geseran tali kedengaran sebelum suara Fariha menjerit sekali lagi dan diikuti dengan bunyi jatuhan yang kuat. Hadi kaget! 
Mata Hadi dapat menangkap seutas tali yang merentasi antara pintu yang ditolak. Dadanya cemas.

“Fariha!”

     Kelihatan tubuh Fariha sudah berada di atas lantai dengan berlumuran darah. Sebilah pedang tertusuk pada tubuhnya. Hadi terus mendapatkan Fariha dan cuba untuk menarik pedang yang menusuk batang tubuh gadis itu. Beberapa kali dia mencuba barulah pedang itu berjaya di keluarkan. Dia menangis semahu-mahunya. Bajunya yang turut berlumuran darah langsung tidak diendahkan.

Di luar kedengaran bunyi bising dengan siren kenderaan polis dan juga laungan anggota polis meminta untuknya menyerah diri. Hadi tidak tahu apa yang sedang berlaku. Kesedihan dan kekecewaannya belum tamat tapi kini dia di bebani dengan satu musibah baru. 


**********

Pagi itu Erfan menerima panggilan telefon dari Kamarul yang menyatakan Hadi berada dalam tahanan polis. Begitu juga tentang berita kematian Fariha. Semuanya mengejutkan dan berlaku dengan pantas.

“Erfan tolong aku Erfan! Tolong aku! Aku tak salah Fan.” 

      Suara Hadi kedengaran di dalam talian di sebalik jeriji besi. Dia memuntahkan segala apa yang dia mahu. Sebak! Sungguh berat rasanya dugaan yang dihadapi oleh Hadi.

Erfan bingung. Bagaimana dia boleh membantu Hadi jika semua bahan bukti menjurus pada lelaki itu. Sekarang ini hanya Kamarul yang boleh dipercayai. Dia bergegas mencari lelaki itu.

“Arul, siapa beritahu kau semalam tentang Hadi dan juga kematian Fariha?”

       Kamarul menyisipkan penyedut minuman ke bibir. Tekak yang haus perlu dibasahkan segera. Dia tahu yang dia bakal menjawab pelbagai soalan dari Erfan sebentar nanti. Semuanya tentang kes Hadi.


“Suria, kawan serumah Fariha. Dia juga dipanggil untuk siasatan polis,” ujar Kamarul tenang. 

     Pagi semalam dia dikhabarkan tentang laporan polis yang telah dibuat oleh Suria tentang kehilangan Fariha. Itupun setelah Suria menelefon keluarga dan rakan-rakan terdekat Fariha untuk memastikan sahabatnya itu ada bersama mereka atau tidak. Semuanya berlalu terlalu pantas.


Bersambung...

*Dapatkan sambungan dalam naskah WAADAT...