…..T.
U. J. U. H. B. E. L. A. S…..
Zain melihat Harnina yang bagaikan tidak cukup tangan
dengan kerjanya. Sesekali dilihatnya Harnina ada di tempat duduknya sediada dan
tidak sampai beberapa minit kemudian dia sudah berubah di bahagian lain. Timbul
pula rasa kasihan di hati Zain terhadap Harnina. Panggilan telefon yang
diterima olehnya dari Mariam semalam benar-benar menjerat dia. Antara kasihan dan
tugasan. Pagi ini suami Mariam telah datang menemuinya membawa surat permohonan
cuti selama sebulan lagi sepertimana yang dijanjikan.
“Nina”, laung Zain terhadap Harnina yang sedang sarat
dengan fail-fail di tangan. Gadis yang bertubuh langsing itu menoleh. Fail-fail
yang dikendongnya tadi diletakkan di atas meja.
“Jumpa saya sekejap”. Lantas Zain masuk semula ke dalam
biliknya. Berat juga dia untuk menyuarakan namun apakan dayanya.
“Ya, Encik Zain nak jumpa saya?”. Punggung dilabuhkan di
atas kerusi berhadapan bosnya.
“Nina, berapa lama lagi awak akan buat kerja-kerja Mariam
agaknya ya?”.
“Dua minggu sahaja lagi encik. Kenapa?”. Wajahnya nampak
ceria. Mungkin kerana dia akan melepaskan satu tugasan yang berat selepas ini
dan akan kembali melakukan tugasnya sahaja.
“Hmm…. Sebenarnya berat saya nak beritahu kamu ni Nina”.
Zain berdehem kecil sebelum meneruskan kata-katanya. Harnina terasa hairan
dengan kelakuan bosnya.
“Mariam mohon cuti tanpa gaji selama sebulan. Sebab
anaknya ada masalah kesihatan”. Sungguh Harnina tidak terduga dengan situasi sekarang.
Dia hanya mendiamkan diri sahaja. Membiarkan Zain berteka teki dengan sikap
Harnina saat itu. Zain hanya memandang Harnina yang sepi tanpa ulasan.
“Nina, awak sanggup atau tidak untuk sambung tugasan
Mariam selama sebulan lagi?”. Timbul pula rasa kasihan pada Harnina. Gadis itu
nampak agak tertekan dengan dua tugasan yang dilakukan sebagaimana sekarang.
“Encik Zain ada cadangan lain tak selain daripada saya
memangku dua tugasan tu?”. Harnina sudah tidak terdaya dengan beban yang
dipikulnya. Sebenarnya, perkara yang dia tidak sanggup adalah bekerja di bawah
seliaan Rizqi. Pemerintahan kuku besi!.
“Kenapa?”, soal Encik Zain sekadar ingin tahu atau lebih
tepat sekali ingin mengorek rahsia.
“Saya lebih suka jaga fail-fail tu berbanding dengan buat
tugasan Mariam”.
“Atau…awak tak selesa bekerja dengan Rizqi?”. Melebar
senyum di bibir Zain. Ternyata tepat sekali tekaannya. Tapi, tidak perlulah
untuk dibesar-besarkan. Harnina hanya jungkit bahu. Tidak mahu bosnya tahu
perihal itu. Masakan tidak, Zain dan Rizqi adalah rakan kongsi. Adalah jauh
lebih baik dia mengambil sikap mendiamkan diri daripada memberikan sebarang
komen.
“Kalau mengikut prestasi yang Rizqi berikan pada saya
tentang awak, awak seorang yang bagus dan cepat belajar Nina”. Senyuman yang
mekar di bibir Zain tidak memberikan apa-apa makna pada Harnina. Bagi diri
Harnina, dia lebih gemar bekerja tanpa tekanan. Jadi, semua tugasan yang dibuat
lahir daripada hati yang ikhlas.
“Encik Zain, kalau ikutkan saya memang dah tak mahu lagi
ganti tempat kak Mariam. Saya rasa Tanti lebih layak daripada saya ataupun cari
seorang lagi pekerja baru. Lagipun, bukankah lebih mudah sebab Tanti melapor
dengan Encik Rizqi juga”. Sebenarnya, dia sudah tidak sanggup untuk berhadapan
dengan Encik Rizqi yang terlalu autokratik itu.
“Assalamualaikum…”. Seseorang datang memberi salam tanpa
mengetuk pintu terlebih dahulu. Suara itu tidak lain dan tidak bukan adalah
milik Rizqi. Tapi kelihatan dia lebih ceria daripada biasa. Harnina mengeluh di
dalam hati. Rizqi ni pantang disebut, pasti muncul sahaja.
Mereka berdua bersalaman dan saling bertanya khabar,
ibarat sudah berbulan tidak bertemu. Situasi yang sekali sekala sahaja Nina
dapat lihat sepanjang dia berkhidmat di situ.
“Zain…kau….”. Rifqi Melirik ke arah Harnina dan Zain
silih berganti beserta dengan jari telunjuknya. Dia cuba meneka sesuatu dari
Zain. Harnina hanya mendiamkan diri.
“Oh…ya, aku tengah discuss dengan Nina ni tentang Mariam.
Nina ni dah taknak lagi sambung tugasan Mariam. Apa pendapat kau?”. Encik Zain
sengaja mahu membuka ruang untuk Rifqi bersuara. Dia tahu, Harnina tidak
terhidu lagi siapa yang sebenarnya yang berada di sisinya itu.
“Aku??? Pendapat aku?”. Rifqi menunjukkan kedua-dua ibu
jarinya kepada dirinya sendiri. Zain hanya mengangguk-anggukkan kepala.
Mengiyakan soalan yang bertalu-talu.
“Hurmmm…” Rifqi memandang Harnina dari atas hingga ke
bawah. Macam tak pernah tengok orang pula lagaknya menjadikan Harnina terasa
rimas.
“Encik Rizqi, saya rasa Tanti lebih sesuai dengan tugasan
tu”. Harnina yang rimas diperhatikan sebegitu terus sahaja bersuara. Kalau
boleh saat itu juga dia mahu keluar dari bilik tersebut mencari sudu atau garfu
untuk mencungkil mata insan yang duduk di sebelahnya. Macam tak pernah tengok
orang langsung, desis hatinya.
“Tak patut…tak patut…. Zain, aku cadangkan kita naikkan
gred dia ni untuk kekal di tempat Mariam sekarang. Jadi, tempat dia kita akan
ambil pekerja baru. Soal Mariam tu nanti kita fikirkan bersama”. Rifqi bersuara
dengan nada riang. Zain pula hanya tertawa sambil mengeleng-gelengkan
kepalannya.
“Macamnilah Nina. Bagi saya dan Rizqi berbincang dahulu.
Kemudian bila kami dah dapat kata sepakat, saya akan maklumkan pada awak ye.
Buat sementara waktu ni awak buat sahaja kerja lama awak untuk daftar
penerimaan fail dan tugasan Mariam tak perlulah awak risaukan”. Harnina terus
meminta izin untuk keluar dari bilik itu dengan satu senyuman yang puas. Puas
kerana di akhir kata-kata Encik Zain seolah-olah menjanjikan dia tidak perlu
melakukan tugasan Mariam lagi.