Jumaat, 4 Ogos 2017

HELLO! JODOH... AWAK KAT MANA? - Bab 8

BAB 8

Aku dan Saida sudah sibuk berkemas. Rasanya masa hari aku datang, aku bawa satu beg dan Saida juga bawa satu beg. Tapi hari ini aku tengok beg Saida seakan sudah beranak pinak pula. 

"Kau pandang apa?" Kata-kata Saida meluncur laju.

"Tu haa... cepat betul beg kau membiak."

Saida tergelak.

"Maklumlah... dah ala-ala honeymoon kan.”

"Yelah. Yang honeymoon tu kau. Bukannya aku. Aku ni tetap menjeruk rasa."

"Ooo... patutlah. Muka kau pun selalu sangat aku nampak masam."

Terkekeh-kekeh Saida ketawa.

"Tapi kau ingat tau. Jangan beritahu apa-apa pasal Alif dengan ibu.”

Aku beri arahan pada Saida. Minah ni kadang-kadang perlu diingatkan berulang kali. Saida angkat sebelah tangannya separuh bahu. Macam orang sedang berikrar.

"Yes mem. Faham mem."

Sengaja dia mengusikku. Aku hanya membalas dengan isyarat kedua ibu jariku naik ke atas.

Pesawat yang membawa kami selamat mendarat di KLIA 2 tepat jam 2 petang. Keluar sahaja dari balai ketibaan, aku segera meminta Saida menunggu sementara aku mahu ke tandas. Aku menarik nafas lega sebaik sahaja selesai melepaskan hajat. Menuju ke sinki dan mencuci tangan sebersihnya.